Bersama PemimpinSemasaVeteran

350 Wira Negara Terima PJM

PAHANG: Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada mereka yang menerima Anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang merupakan salah satu penghargaan kerajaan terhadap jasa bakti yang telah dicurahkan terutamanya semasa darurat menentang komunis.

Beliau berkata, PJM adalah merupakan campaign medal yang telah dizahirkan berdasarkan undang-undang bertulis yang telah diluluskan oleh parlimen semenjak 3 Mac 2004 dan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong.

“Majlis yang diadakan pada hari ini merupakan majlis penganugerahan yang pertama diadakan pada tahun ini dan sehingga kini seramai 28,971 warga Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima PJM.

“Selain itu, beberapa inisiatif untuk Veteran ATM telah dilaksanakan antaranya adalah penubuhan Pusat Perkhidmatan Setempat atau One-Stop-Centre Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada Veteran ATM.

“Kerajaan sememangnya komited untuk menjaga hal ehwal kebajikan dan sosioekonomi Veteran ATM”, tegas beliau sewaktu menyempurnakan Majlis Penganugerahan PJM peringkat Negeri Pahang yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuantan pada 3 Apr 2021.

Tambahnya lagi, Kementerian Pertahanan juga telah memperuntukkan kuota sebanyak 30 peratus kepada anak veteran ATM untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara Angkatan Tentera Malaysia (MRSM ATM) di Bera.

Pada masa yang sama, seramai 350 orang penerima PJM yang terdiri Perwira dan Bintara Veteran ATM yang berkhidmat bermula 1 Jan 1969 sehingga 17 Okt 1990 atau lebih dikenali sebagai Perkhidmatan Semasa Darurat Kedua atau tempoh yang terlibat dalam memerangi Pengganas Komunis Malaya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi.

Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button