Bersama PemimpinSemasaSukan

KPTD Mengungguli Perlawanan Akhir Bola Sepak Antara Kor Dan Rejimen Tahun 2022

KUALA LUMPUR: Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) muncul juara dalam Perlawanan Akhir Bola Sepak Antara Kor dan Rejimen Tahun 2022 menewaskan Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) dengan jaringan satu (1) gol berbalas kosong (0) di Padang Bola Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 29 Jul 2022.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain telah hadir bagi memeriahkan lagi suasana perlawanan akhir di antara KJLJD dan KPTD.

Selain mewujudkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi, pertandingan bola sepak antara Kor dan Rejimen ini bertujuan untuk memilih pemain berpotensi bagi mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa serta mencungkil bakat-bakat baharu agar dapat diketengahkan di peringkat ATM.

Terdahulu, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman diiringi Panglima Divisven Keempat Infantri Malaysia (4 Div), Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran diperkenalkan kepada para pemain sebelum menyempurnakan gimik penyerahan bola oleh seorang wanita seakan perkhidmatan penghantar barangan sebagai simbolik perasmian Perlawanan Akhir Bola Sepak Antara Kor Dan Rejimen Tahun 2022.

PTD menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada dua pemain terbaik di mana Anugerah Penjaring Terbanyak disandang oleh Kpl Nor Fakhrudin Harun daripada KJLJD manakala Anugerah Pemain Terbaik dinobatkan kepada Kpl Amirul Moideen daripada KPTD.

Anugerah Kumpulan bagi Piala Fairplay diberi kepada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) manakala KPTD yang merangkul Johan Keseluruhan membawa pulang pingat emas dan Mock Cheque bernilai RM3,000.

KJLJD selaku Naib Johan membawa pulang pingat perak dan Mock Cheque bernilai RM2,000 manakala bagi tempat ketiga disandang oleh Rejimen Artileri Diraja (RAD) beroleh pingat gangsa berserta Mock Cheque RM1,000.

Penglibatan dan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh anggota TD sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.

Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button