PAHANG: “Machine atau aset TD perlulah bergerak seiring dengan perkembangan sumber manusia bagi memantapkan lagi ketumbukan Briged Mekanize.
“Pengetahuan dan kemahiran Man Behind The Machine pula akan menentukan aset-aset yang dimiliki digunakan secara optimum dan efektif”, kata Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.
PTD dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha diraikan dalam Perbarisan Penghargaan PTD Ke-28 di Padang Kawad Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) pada 3 Mac 2023.
Perbarisan penghargaan sempena persaraan beliau ini diadakan di Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd (Mek)) yang signifikan kepada PTD selaku mantan Panglima 4 Bgd (Mek) suatu ketika dahulu.
Ketibaan beliau disambut oleh Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum diteruskan dengan perbarisan berkonsep Berjalan Lalu Berkenderaan terdiri daripada 21 pegawai dan 240 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) bersama 29 buah Kenderaan Jenis A (KJA) pelbagai varian serta diiringi oleh pancaragam gabungan dari Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (12 RAMD (Mek)) dan 1 KAD.
Semasa acara berlangsung, PTD menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Kapt Asmawi Awang @ Setapa selaku Pemangku Mejar dan diikuti seramai sembilan anggota LLP dinaikkan pangkat.
Sejurus selesai acara perbarisan, PTD dan isteri menyampaikan sumbangan kebajikan melibatkan waris kepada Kpl Mohd Zani Abdul Mubin dari Markas Staf Stesen Kuantan iaitu Puan Maziah Abu Bakar yang menghidap penyakit Myelofibrosis.
PTD dan isteri kemudian menyantuni Kpl Muhammad Arif Budin dari 12 RAMD (Mek) yang patah kaki akibat kemalangan jalan raya serta anak kepada Kpl Saiful Bahari Sabran dari 1 KAD iaitu Nurafiqah Rizqiya yang mengalami masalah sumbing lelangit dan sindrom Pierre Robin Sequence.
Penerima sumbangan terakhir merupakan waris kepada Kpl Nazrul Izwan Mat Saad dari Rejimen 502 Askar Wataniah (502 AW) iaitu Muhammad Adam Rizqi yang menghidap Hand Syndrome.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Abdul Rashid dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul &Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir