Bersama PemimpinSemasa

Istiadat Perbarisan Keberangkatan Ulung Agong XV Ke Kem Syed Sirajuddin

NEGERI SEMBILAN: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat (TD) diatas kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada baginda, Institusi Diraja serta kedaulatan negara semasa titah baginda dalam Istiadat Perbarisan Keberangkatan Ulung baginda ke Kem Syed Sirajuddin pada 15 Ogos 2017.

“Peristiwa pencerobohan yang berlaku pada 2013 di Lahat Datu merupakan insiden yang tidak dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia dan ini telah membuktikan bahawa TD mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Kejayaan mengekang dan menghapuskan ancaman ini membuktikan legasi peningalan warga TD terdahulu masih diteruskan dalam jiwa warga TD hingga kini namun beta mahukan anda semua agar tidak leka dengan kejayaan dan kecemerlangan ini,” titah baginda.

Baginda yang berkenan mencemar duli ke istiadat tersebut turut mengingatkan kepada warga TD bahawa perkembangan keadaan semasa antarabangsa dan serantau yang tidak menentu mempengaruhi landskap keselamatan negara dimana keadaan ini menuntut TD untuk sentiasa bersedia menghadapi pelbagai dimensi ancaman dalam menentukan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Mengimbas sejarah penubuhan Kem Syed Sirajuddin yang satu ketika dahulu dikenali sebagai Kem Gemas merupakan kem termoden dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baik dari segi keluasan, fungsi atau kemudahan.

Pembinaan fasa pertama bermula pada 30 Jan 1996 dan siap pada Nov 1998 melibatkan pembinaan fasiliti menempatkan 21 RAD dan 439 buah rumah keluarga lalu bagi fasa kedua pula, ia dibina oleh Syarikat Tabung Haji Technologies dan siap pada 2 Sep 2004 meliputi Markas Garison, 14 RAMD, 11 KAD, Cawangan Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM), 162 rumah keluarga dan kemudahan lapang sasar.

Sementara itu, pembinaan fasa ketiga kem itu bermula 22 Apr 2002 hingga 21 Okt 2004 melibatkan kawasan seluas 269.52 hektar yang menempatkan 51 RAD,  91 Depot Pangkalan Peluru (91 DPP) dan 356 buah rumah keluarga lalu kem ini dimasyhurkan dengan gelaran baharu sebagai Kem Syed Sirajuddin bersempena nama Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail.

Terdahulu ketibaan baginda di Padang Kawad Rejimen Ke-51 Artileri Diraja disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim lalu menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di susuli dengan 21 das Tembakan Kehormatan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja serta iringan lagu Negaraku.

Pada masa yang sama formasi terbang lintas hormat oleh tiga helikopter Agusta 109 dengan membawa bendera TD diketuai oleh Mej Safari Mohd Jamil dari Tim Nukleus Rejimen 881 dan 882 Pasukan Udara Tentera Darat.

Perbarisan diteruskan dengan acara berjalan lalu melibatkan 34 pegawai dan  370 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri dari lima detasmen meliputi  pasukan dari 10 Bgd Para, Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin TD, RAMD, Kor Armor Diraja dan Rejimen Artileri Diraja yang di ketuai oleh Lt Kol Mohamed Fauzi Kamis.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hj Hassan,  Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi , Panglima  Medan Barat TD,  Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Mohd Zaki Hj Mokhtar.

 

Gambar: Kapt Ahmad Farhan Hassan, PW II Mohd Shahril Mat Ali, SSjn Vijay Gaundar

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online