KUALA LUMPUR: Seramai 15 pegawai dan 209 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Pahlawan Hj Abu Suffian Hj Ahmad di Padang Kawad Kem Batu Kentomen pada 27 Nov 2017.
Terdahulu dari itu, Mej Jen Dato’ Pahlawan Hj Abu Suffian Hj Ahmad menerima tabik hormat terakhir dari kontijen perbarisan yang terdiri dari empat detasmen yang diketuai oleh Lt Kol Ainol Huda Abdul Manap bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 40 tahun 10 bulan 23 hari berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.
Dalam ucapannya, beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.
Saya akan menamatkan perkhidmatan saya pada 30 November 2017 setelah berkhidmat selama 40 tahun 10 bulan di dalam TD khususnya RAJD, di sini saya dapat melihat perkembangan keseluruhan RAJD megah berdiri bagi membantu pembangunan negara dan secara terus mengharumkan nama organisasi dimana RAJD tidak lekang dengan segala operasi dan latihan bagi menghadapi segala ancaman serta dugaan yang membuatkan kita sentiasa berkeadaan berjaga-jaga.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan seluruh warga RAJD agar terus menjaga kesepaduan di antara kita kerana warga yang bersatu akan mengekalkan kelangsungan dalam melaksanakan peranannya dengan lebih efektif dan efisien dengan moto kita Berusaha Berfaedah dan saya menyeru setiap warga RAJD agar sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan sekarang sebagai satu angkatan dengan berpaksikan semangat setiakawan, saling bergandingan dan saling tanggungjawab ini kerana dengan semangat setiakawan yang tinggi maka ia akan menjadi sendi kukuh kepada kekuatan dan kesatuan RAJD”
Dalam pada itu, PTD turut memberikan ucapan balas dengan mengatakan beliau berbangga dan berterima kasih kepada Mej Jen Dato’ Pahlawan Hj Abu Suffian Hj Ahmad bagi pihak TD di atas perkhidmatan, jasa, bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan tanpa berbelah bahagi dan ini merupakan satu kehilangan yang tidak mungkin dapat diganti kerana pegawai kanan yang berkarakter seperti beliau sukar dicari ganti.
Sepanjang perkhidmatan, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting sama ada dalam cabang pemerintahan, kejurulatihan mahupun staf bermula sebagai Ketua Terup di 15 Skuadron Simpanan, kecemerlangan cabang pemerintahan diteruskan sebagai Pegawai Pemerintah di 9 Skuadron RAJD sebelum dipertanggungjawabkan memerintah 91 Rejimen Bina RAJD dan berdasarkan kepada karakter serta kredibiliti yang dimiliki Mej Jen Dato’ Pahlawan Hj Abu Suffian Hj Ahmad, saya amat senang bekerja dengan beliau kerana segala arahan dan amanah yang diberikan telah dilaksanakan dengan baik dan terpuji.
Namun, telah menjadi lumrah dunia, tidak ada apa yang akan kekal hingga bila-bila dan begitu juga dengan perkhidmatan kita apabila sampai masanya kelak kita akan meninggalkan perkhidmatan yang kita sayangi ini dan saya mendoakan semoga Mej Jen Dato’ Pahlawan Hj Abu Suffian Hj Ahmad terus diberi kesihatan, ketenangan serta kegembiraan bersama ahli keluarga yang pastinya menantikan saat ini dan saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Datin Norizan Megat Hashim kerana sentiasa menjadi pendamping dan pendorong utama kepada suaminya,” ujar PTD.
Turut hadir, Ketua Jurutera merangkap Pengerusi RAJD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Abdul Nasser Ahmad, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Hj Ahmad Nasir Hj Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan JUPEM, Brig Jen Sr Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab, Timbalan Ketua Jurutera, Brig Jen Ho Hin Chai serta pegawai dan anggota LLP RAJD.
[srizonfbalbum id=39]
Gambar: Saifun Hakimi Zainon