KELANTAN: Seramai 69 pegawai dan 805 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) hadir dalam sesi dialog sempena Lawatan Kerja Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Dewan Sri Pahlawan, Kem Desa Pahlawan pada 23 Jan 2018.
Ketibaan PTD diiringi oleh Panglima 8 Bgd, Brig Jen Dato’ Nazari Abd Hadi, lalu berjumpa dengan warga Kem Desa Pahlawan dan menerangkan beberapa transformasi kebajikan serta penjelasan berkenaan perkhidmatan anggota kini. Dalam sesi dialog PTD merangkap Pengerusi Teras Kebajikan Kementerian Pertahanan menyentuh dan menyatakan bahawa Tranformasi Kebajikan dan Perkhidmatan anggota merupakan inisiatif yang dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang komprehensif, aktif dan kondusif dalam kalangan anak-anak anggota di bawah teras kebajikan.
Beberapa program pendidikan dirangka bagi meningkatkan taraf akademik dan prasarana pendidikan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mana program turut melaksanakan Tuisyen Online di 38 buah sekolah dan tujuh buah pusat tuisyen di dalam kem ATM, perkhidmatan TASKA dengan memberikan perkhidmatan jagaan kepada anak-anak warga ATM berumur dua hingga empat tahun, perkhidmatan Feri Sekolah, Skim Bantuan Persekolahan kepada anak tentera, Program Motivasi dan Parenting Skills melalui kerjasama dengan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).
Inisiatif ini bertujuan supaya mereka dapat mengikuti pelajaran dalam suasana aktif dan kondusif setara dengan perkembangan pendidikan masa kini dan warga TD dapat melaksanakan tugasan dengan lebih efisien dalam menyokong agenda pendidikan MinDef yang menjalin kerjasama bersama Kementerian Pendidikan.
PTD turut menyentuh berkaitan aspek Skim Anuiti Veteran (SAVe), Skim Berpencen 26 tahun serta Program Perumahan Kerajaan kepada anggota iaitu Satu Anggota Satu Rumah (SASAR) demi menzahirkan keprihatinan TD akan kepentingan dan masa hadapan warga TD apabila bersara kelak.
“Skim Anuiti Veteran (SAVe) adalah skim bagi membantu anggota tentera yang tidak berpencen bagi mengekalkan taraf sosio ekonomi selepas menamatkan perkhidmatan dengan kaedah 15% caruman kerajaan kekal dalam akaun LTAT untuk dijadikan modal pelaburan manakala keuntungan pelaburan akan dibayar secara bulanan dan diuruskan LTAT,” jelas PTD.
Bagi anggota yang dinaikkan pangkat juga turut diperjelaskan oleh PTD dimana Skim Kenaikan Gaji baru khas untuk anggota yang telah dinaikkan pangkat dimana perkara telah diluluskan oleh Majlis Angkatan Tentera dan sebagai pemerintahan tertinggi PTD juga turut menasihati seluruh warga TD agar tidak tidak terlibat dengan anasir-anasir yang kurang sihat serta boleh menjejaskan nama baik TD dan ATM khasnya.
Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Mohd Ramli Jaafar.
Gambar: PW 2 Mohd Shahril Mat Ali