Tag: ATM

  • ATM Terus Komited Kawal Sempadan Negara

    ATM Terus Komited Kawal Sempadan Negara

    KEDAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM meninjau ke kawasan OP BENTENG sektor Utara (OP PAGAR II) yang merupakan kawasan kawalan sempadan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan Bukit Kayu Hitam pada 2 Dis 2020.

    Lawatan PAT ini adalah untuk melihat sendiri keadaan dan kesiapsiagaan anggota TD yang terlibat dalam OP BENTENG yang mana lokasi di bawah OP PAGAR II yang dilawati adalah beberapa Pos Pemerhati dan Pos Sekatan Jalan Keselamatan (SJK).

    Semasa sidang media, PAT menyatakan bahawa ATM sentiasa memastikan anggotanya mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi iaitu dalam mengukuhkan rondaan di kawasan penugasan selain meningkatkan aktiviti risikan.

    “Atur gerak aset ATM adalah berpandukan kepada penilaian ancaman semasa serta kesesuaiannya dengan penugasan operasi yang dilaksanakan.

    “ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara serta tidak menolak untuk mengatur gerak aset sedia ada yang bersesuaian bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan secara berkesan sekaligus memberi perlindungan yang lebih baik kepada anggota-anggota ATM yang bertugas,” jelas beliau.

    Tambahnya lagi, perolehan aset seperti dron sangat efektif dalam meningkatkan keberkesanan pelaksanaan operasi di kawasan sempadan dan ianya akan menjadi keutamaan dalam perancangan perolehan aset baharu bagi pelaksanaan OP BENTENG.

    “Pertambahan dron yang lebih banyak akan membantu aktiviti pengawasan di sempadan negara dan dapat dilakukan dengan lebih berkesan serta pantas selain turut menjimatkan kos perbelanjaan operasi.

    “Untuk kita membuat pengawasan dan pengintipan di kawasan yang besar, kita memerlukan sesuatu alat yang boleh bertindak cepat serta dapat melalui kawasan yang sukar ditempuh oleh anggota keselamatan yang bertugas,” kata beliau.

    Selain itu PAT turut menjelaskan bahawa sebelum ini, pemantauan udara turut mengunakan pesawat-pesawat tentera termasuklah PDRM yang mana ia melibatkan kos yang besar dan sebagai langkah yang terbaik bagi mengawal sempadan negara yang panjang adalah dengan penggunaan dron di kawasan-kawasan yang terlibat.

    Jelas beliau lagi, dron yang digunakan tidak semestinya terlalu sofistikated dan kos yang tinggi, tetapi sesuai dengan keperluan operasi yang dilaksanakan sekarang.

    Terdahulu ketibaan delegasi PAT dan PTD di LP Pos 5, diiringi oleh Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad lalu disampaikan taklimat operasi di Markas Taktikal Pos 5.

    Pada masa sama, delegasi turut berkesempatan melawat ke Markas Taktikal Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Kayu Hitam.

    Tentera Darat bersama beberapa agensi keselamatan terlibat dalam melaksanakan OP BENTENG yang dikoordinasikan oleh National Task Force (NTF).

    Keseluruhan kawasan tanggungjawab persempadanan Malaysia-Thailand yang diletakkan di bawah pengawasan ATM adalah merangkumi jarak 345 kilometer (km) daripada keseluruhan 646.5km panjang sempadan manakala selebihnya adalah di bawah pengawasan PGA.

    Kawasan tanggungjawab OP PAGAR II sejauh 24 km bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Terap dipantau secara terperinci bagi mengesan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

    Turut hadir Komander NTF, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan Abdullah, Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan ATM, Mej Jen Hashim Aman Shah, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid ATM dan Panglima 30 Bgd Brig Jen Mohd Zaki Abu.


    Gambar: Sjn Saiful Fazley

  • PTD Tinjau Pengoperasian Dron OP PENAWAR

    PTD Tinjau Pengoperasian Dron OP PENAWAR


    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi meninjau pengoperasian dron bagi memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebagai usaha membendung peningkatan wabak Covid-19 di sekitar kawasan Cheras pada 28 Mac 2020.

    Dalam tinjauan tersebut, PTD melihat sendiri keadaan dan cara pelaksanaan pengoperasian Tim Dron ATM disamping melihat kesiapsiagaan anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan.

    “Keberadaan kita disini, disebabkan arahan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara untuk mengguna pakai dron dan kita telah aturgerakkan Tim Dron ATM dan PDRM untuk digunakan dalam OP PENAWAR.

    “Kelebihan dron ini dapat menjimatkan masa serta dapat pergi ke tempat yang sukar dipantau dengan lebih cepat dan dengan menggunakan teknologi ini akan membantu menjadi mata kepada kami.

    “Ianya akan digunakan di kawasan merah yang telah dikenal pasti yang mana penerbangan dron ini bukanlah sesuka hati kerana ia mengikut perancangan khas ATM, PDRM dan pihak berkuasa lain,” katanya dalam sidang media semasa tinjauan pengoperasian dron.

    Beliau juga berharap dengan adanya penggunaan dron ini akan memantapkan PKP selain dapat memberi lebih kesedaran kepada rakyat agar mematuhi PKP.

    Tambah beliau lagi, ATM turut membantu pihak polis dan pihak berkuasa tempatan di kawasan Simpang Renggam, Johor yang diistiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta turut melibatkan pegawai dan anggota perubatan ATM.

    Selain itu PTD mengatakan dua perkara dihadapi kini iaitu virus COVID-19 yang tidak dapat dilihat dan juga netizen yang tidak mematuhi arahan PKP yang mana jika kes semakin meningkat berkemungkinan PKP ini akan terus berlanjutan.

    “Adanya kami disini sebab ketidakpatuhan tersebut, selagi tidak patuh selagi itu kami bertugas.

    “Jangan anggap pihak berkuasa sebagai musuh, kita adalah pasukan sahabat yang hendak menentukan bahawa rangkaian wabak ini dapat diputuskan agar rakyat boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

    Jelasnya lagi, langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan ini adalah untuk kebaikan dan bukan untuk menyusahkan rakyat serta beliau merayu kepada semua pihak yang tidak ada kepentingan untuk keluar agar mematuhi PKP ini.

    Turut hadir dalam tinjauan berkenaan Panglima Medan Barat, Lt Jen Dato’ HJ Mohd Nazir Hj Mami dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.


    Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya

    [custom-facebook-feed album=3364413356920889]

  • 95 Peratus Rakyat Patuhi Hari Kelapan PKP – PM

    95 Peratus Rakyat Patuhi Hari Kelapan PKP – PM

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai lebih 95 peratus pada hari kelapan penguatkuasaanya.

    Perkembangan itu menunjukkan rakyat mengikut arahan dengan duduk di rumah dan tidak keluar sesuka hati.

    “Hari ini adalah hari kelapan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa, saya mendapat laporan daripada pihak polis lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini.

    “Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat membeli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada 25 Mac 2020.

    Bagaimanapun beliau berkata, terdapat juga laporan mengenai sejumlah kecil insiden pelanggaran perintah berkenaan yang mana pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan.

    Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar.

    “Tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan ia mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu untuk membendung penularan wabak COVID-19.

    “Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at home.

    Malah, beliau menegaskan, keadaan mungkin akan lebih sukar kerana COVID-19 adalah wabak yang tidak pernah dihadapi negara.

    “Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar dan COVID 19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.

    “Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia dengan kadar jangkitannya begitu cepat,” katanya lagi.

    Selain itu kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP hingga 14 Apr 2020 susulan kes positif COVID-19 masih berlaku yang mana keputusan perlanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal.

    “Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.

    “Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun dan ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama,” jelas beliau.

    Tambah PM lagi, tempoh lanjutan kuat kuasa PKP akan dikaji dari semasa ke semasa dan sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 Apr 2020 akan diumumkan kemudian.

    [custom-facebook-feed album=3356326177729607]

  • Stay Healthy and Protect Yourself

    Stay Healthy and Protect Yourself

    KUALA LUMPUR: Tentera Darat (TD) telah mengeluarkan tagline atau cogan kata Stay Healthy and Protect Yourself iaitu Jaga Kesihatan dan Lindungi Diri buat warga TD yang melaksanakan OP PENAWAR bagi membendung penularan COVID-19 yang dilaksanakan bermula 22 hingga 31 Mac 2020.

    Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi menegaskan semua anggota TD untuk menjaga kesihatan dan melindungi diri mereka dari dijangkiti wabak COVID-19 semasa melaksanakan OP PENAWAR.

    PTD berpesan kepada anggota yang bertugas bahawa peraturan ditetapkan kepada yang bertugas merupakan langkah pencegahan bagi menggelakkan mereka dari dijangkiti yang mana boleh menyebabkan sesuatu fasiliti tentera dikuarantin.

    “Kita khuatir sekiranya kalau salah seorang daripada anggota kita positif menyebabkan satu kem dikuarantin, maka eloklah kita buat langkah pencegahan sebelum kita menyesal,” kata PTD kepada pemberita selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Ampang pada 23 Mac 2020.

    Pelaksanaan OP PENAWAR telah melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 hingga 31 Mac 2020.

    Selain itu, PTD menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota ATM serta PDRM yang bertugas demi negara dan rakyat serta turut berpesan kepada anggota yang bertugas bahawa peraturan ditetapkan kepada yang bertugas merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan mereka dari dijangkiti.

    Kerjasama diantara ATM dan PDRM ini dilihat sebagai salah satu usaha serius kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 dimana atur gerak ini membolehkan penguatkuasaan PKP dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan rakyat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan serta dapat melihat keberkesanan langkah ini melalui kolaborasi dua agensi keselamatan negara.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • MENHAN Dan PTD Tinjau Op PENAWAR

    MENHAN Dan PTD Tinjau Op PENAWAR

    KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi turun padang bagi meninjau salah satu sekatan jalan raya sempena Op PENAWAR di Jalan Ampang pada 23 Mac 2020.

    Pelaksanaan Op PENAWAR telah melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

    Kerjasama diantara ATM dan PDRM ini dilihat sebagai salah satu usaha serius kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 dimana atur gerak ini membolehkan penguatkuasaan PKP dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan rakyat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan serta dapat melihat keberkesanan langkah ini melalui kolaborasi dua agensi keselamatan negara.

    Turut mengikuti tinjauan tersebut Timbalan MENHAN, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz serta pegawai kanan Tentera Darat.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

    [custom-facebook-feed album=3374183845943840]

  • Pemakaian Pangkat PK Luar Negara

    Pemakaian Pangkat PK Luar Negara

    KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Pegawai Kadet (PK) Muhammad Muiz Muzammil Mukhtar dalam Majlis Pemakaian Pangkat Kadet Luar Negara Tentera Darat (TD) di Penthouse, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 18 Mac 2020.

    Terdahulu keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Buang TUDM diiringi Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi.

    PK Muhamad Muiz Muzammil Mukhtar telah dipakaikan pangkat dari Pegawai Kadet ke Leftenan Muda berkuatkuasa pada 13 Dis 2019 dan akan berkhidmat di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) sebagai Ketua Platun dimana beliau merupakan Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pengambilan 2013 yang berasal dari Sik, Kedah.

    Kemudian, beliau melanjutkan latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang pada 28 Nov 2018 hingga 13 Dis 2019.

    Turut hadir Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah serta ibu bapa PK.

    Gambar: Kpl Mohd Zulkifli Awang

  • Penghantaran TPA M-15

    Penghantaran TPA M-15

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Buang TUDM telah menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Induk Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Ke-15 (TPA M-15) di Pangkalan Udara Subang pada 12 Mac 2020.

    Kumpulan Induk TPA M-15 yang diketuai oleh Timbalan Ketua Misi, Brig Jen Hj Khalil Mohd Ali TUDM bersama sembilan anggota terdiri daripada empat pegawai dan seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua Pegawai Awam berlepas menggunakan pesawat C-130H TUDM. 

    Penglibatan Malaysia mengetuai Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao (TPA M) bermula pada 10 Oktober 2004 berikutan jemputan daripada Kerajaan Filipina atau Government of Philippines (GPH) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF), sehingga kini sejumlah 13 tim telah diaturgerakkan menjalani misi di Mindanao. Tujuannya adalah untuk memantau gencatan senjata dan pembangunan sosio ekonomi di wilayah yang bergolak di Mindanao. 

    Terdahulu, Kumpulan Pendahuluan TPA M-15 yang diketuai oleh Ketua Misi, Mej Jen Dato’ Muhammad Anwar Abdullah bersama empat anggota telah berlepas ke Mindanao pada 6 Mac 2020 menggunakan penerbangan komersil. 

    Dalam ucapan perasmian PAT, beliau mengingatkan kepada semua TPA M-15 supaya terus menggalas amanah kerajaan Malaysia yang meletakkan harapan tinggi dalam usaha mewujudkan kesepakatan dan perdamaian di Mindanao.

    “Pemilihan saudara sekalian adalah merupakan satu pengiktirafan di atas kredibiliti dan kepakaran yang dimiliki untuk menjayakan misi penting seumpama ini dan semestinya kejayaan kita dalam pelaksanaan misi ini akan sentiasa menjadi pehatian dunia,” ujar beliau.

    Beliau turut berpesan supaya memberi perhatian terhadap aspek kesihatan dimana umum sedia maklum mengenai COVID-19 yang kini menjadi pandemik yang sangat nyata. 

    “Ingatlah bahawa prevention is better than cure, oleh itu tingkatkan kesedaran mengenai wabak ini dan ambillah langkah berjaga-jaga sewajarnya,” tambah PAT.

    Penugasan TPA M adalah sejajar dengan syarat-syarat perjanjian dan persefahaman yang dimuktamadkan termasuk Terma Rujukan (TOR) yang telah dipersetujui oleh pihak GPH dan MILF, konsep organisasi TPA M adalah secara lead nation kerana melibatkan beberapa buah negara iaitu Brunei, Jepun dan Kesatuan Eropah di mana Malaysia adalah sebagai negara peneraju dan juga fasilitator bagi proses perdamaian di antara GPH dan MILF.

    Beberapa perjanjian damai yang ditandatangani di antara Kerajaan Filipina dan MILF membuktikan bahawa peranan TPA M telah mencapai sasaran dan berjaya mengembalikan kedua-dua pihak yang bertelagah ke meja rundingan.

    Bagi perkembangan terkini proses perjanjian damai, GPH melalui Commission on Election (COMLEC) telah mengadakan satu pungutan suara (Plebiscite) untuk mendapatkan consensus rakyat di selatan Filipina mengenai sokongan kepada Bangsamoro Organic Law (BOL)/Bangsamoro Basic Law (BBL).

    Sekiranya mendapat lebih banyak sokongan daripada penentangan, Bangsamoro Autinomous Region in Muslim Mindanao (BARMM) akan menggantikan Autinomous Region in Muslim Mindanao (ARMM), keputusan Plebiscite menunjukkan keputusan memihak kepada sokongan untuk BOL dan sekaligus mewujudkan BARMM. Pengerusi MILF, Murad Ebrahim telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri wilayah baru BARMM pada 22 Februari 2019.

    Setakat ini, tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan proses perjanjian damai antara GPH dan MILF, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk meneruskan tugasan TPA M-14 bagi mewujudkan keadaan yang kondusif bagi kedua-dua pihak di dalam menjalankan proses rundingan damai sehingga wilayah Mindanao mencapai keamanan sepenuhnya.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Hj Yazid Hj Arshad TUDM, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Ayob, Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Zakaria Hj Yadi, Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mej Jen Felix Gonsalves, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM, Deputi Komisioner Polis Dato’ Nerita Yaacob dan pegawai kanan ATM.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

    [custom-facebook-feed album=3323704767658415]

  • Majlis Penutupan dan Penyerahan Premis MTAT

    Majlis Penutupan dan Penyerahan Premis MTAT

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM merasmikan Majlis Penutupan dan Penyerahan Premis Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Dewan Hikmat, Haigate pada 31 Jan 2020.

    Majlis ini merupakan simbolik kepada penyerahan penutupan premis berkenaan yang telah berpindah secara berperingkat ke Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya pada Sep 2020 yang mana Penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf malaysia (KPSM) Siri 49/2020 telah memulakan sesi pengajiannya di premis baharu mulai 1 Sep 2019 hingga 31 Ogos 2020 dan premis MTAT di Haigate akan diambil alih oleh Bahagian Komunikasi Elektronik (KOMLEK), Rejimen 91 RSD dan Wisma Perwira ATM.

    Majlis diteruskan dengan upacara menandatangani Deklarasi Penutupan MTAT, Higate oleh Ahli Lembaga Gabenor Maktab diiringi Komandan MTAT, Brig Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Kemuncak acara telah menyaksikan upacara menurunkan bendera MTAT diiringi tiupan last post dimana bendera inilah yang telah berkibar megah di Haigate selama 48 tahun bermula tahun 1971 yang akan diserahkan oleh mantan Komandan Pertama MTAT, Brig Jen (B), Datuk A. Arulpragasam kepada Komandan MTAT untuk terus dikibarkan dengan megah di premis baharu MTAT di Kompleks PUSPAHANS, Putrajaya.

    Majlis diakhiri dengan penyerahan replika kunci pagar utama MTAT sebagai simbolik penyerahan premis kepada Asisten Ketua Staf KOMLEK, Laksamana Muda Dato’ Shamsuddin Hj Ludin disaksikan oleh PAT.

    MTAT merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan pengajian profesional di peringkat Diploma Lepasan Ijazah yang dihadiri oleh pegawai-pegawai ATM berpangkat Mejar atau setaraf daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM bagi melengkapkan dan menyediakan mereka untuk menjawat jawatan di peringkat yang lebih tinggi serta turut menawarkan tempat kepada pegawai dari agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam.

    Menyentuh sedikit sejarah penubuhan MTAT yang ditubuhkan pada 8 jan 1971 yang disempurnakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan matlamat utama untuk melatih pegawai-pegawai yang terpilih sebagai pegawai staf yang berkualiti bagi memenuhi keperluan ketiga-tiga perkhidmatan.

    Pada tahun 2018 program pengajian telah dinaiktaraf kepada Diploma Pasca Siswazah Pengajian Pertahanan dan Strategik (DPSPP) disamping Diploma passed staff college (psc) dan mata pelajaran untuk kursus diploma adalah sebahagian daripada keseluruhan kurikulum kursus yang dikendalikan oleh Fakulti Pengurusan serta Pengajian Pertahanan UPNM dimana peserta kursus yang lulus keseluruhan modul pengajian akan dianugerahkan dua diploma iaitu psc daripada MTAT DPSSP dan daripada UPNM.

    Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Asghar Khan Goriman Khan TUDM.  

    Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya

    [custom-facebook-feed album=3231853783510181]

  • Perbarisan Penghargaan PAT Ke-20

    Perbarisan Penghargaan PAT Ke-20

    KUALA LUMPUR: Seramai 12 pegawai dan 304 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-20, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Ts. Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin diketuai Lt Kol Khairul Azman Kormin di Dataran Panglima Tentera Darat pada 2 Jan 2020.

    Perbarisan Penghargaan PAT melibatkan empat detasmen terdiri daripada dua detasmen Tentera Darat Malaysia (TDM), satu detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan satu detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) diiringi Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Mej (Dom) Muhamad Nor Azizan Yahya.

    Dalam ucapan PAT, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh warga ATM yang tetap Gagah Setia, Sedia Berkorban dan Sentiasa Di Angkasa Raya dalam menjunjung serta menggenggam erat sumpah keramat Ikar Kesateria agar terus relevan sebagai tonggak dan sangga pertahanan negara.

    “Kita telah pun melakarkan sejarah yang tersendiri apabila berjaya melaksanakan beberapa inisiatif yang digariskan dengan baik seperti yang telah dinyatakan dalam Kad laporan Kementerian Pertahanan 2019 yang meletakkan ATM sebagai sebuah organisasi yang akan terus menjadi sandaran harapan negara dan rakyat dimana tanpa kewujudan kita, pastinya negara ini berisiko untuk terdedah dengan pelbagai ancaman yang boleh menggangu gugat kemanan dan kedulatan.

    “Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kehadiran kita sebagai Benteng Pertahanan Negara boleh diumpamakan satu rahmat kepada rakyat seluruhnya kerana dengan adanya kehadiran tentera, secara tidak langsung ia memberikan satu keyakinan kepada rakyat, terutamanya dalam aspek keselamatan mereka yang dirasakan sentiasa terjaga,” ujar PAT.

    Tambahnya lagi, beliau menyeru rakan seperjuangan untuk terus meningkatkan momentum bagi mencapai prestasi yang lebih cemerlang, serta terus cekal berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang agar wibawa ATM sentiasa kekal.

    Serba ringkas keperibadiannya, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin telah dilahirkan di Perak tanggal 30 Nov 1958, beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 21 Dis 1978 ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), kemuncak kerjaya beliau dalam Tentera Darat Malaysia adalah apabila dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 15 Jun 2011 serta pada 20 Jun 2018 beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia Ke-20.

    Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang, Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Kamarulzaman Mohd Othman TUDM.

    Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli, Kpl Ainur Aisyah Yahaya dan Saifun Hakimi Zainon

    [custom-facebook-feed album=3164692990226261]

  • HUT RSD Ke-67

    KUALA LUMPUR: Seramai 15 pegawai dan 337 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Rejimen Semboyan Diraja (RSD) terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-67 RSD yang disempurnakan Pengarah Peperangan Informasi, Brig Jen Dato’ Basri Kasban di Padang Kawad Cawangan Rejimental, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) pada 15 Nov 2019.

    Perbarisan yang diketuai Lt Kol Abdul Manap Hussain dari 71 RSD Pemerintahan Medan Barat ini melibatkan empat detasmen dan diiringi gabungan Brassband Wanita RSD serta Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat dibawah pimpinan PW II Mohd Daud Hasun.

    Acara diteruskan dengan Pengarah Peperangan Informasi menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada dua pegawai dan sembilan anggota LLP manakala seramai empat orang penjawat awam menerima Sijil Kepujian Perkhidmatan Awam.

    Dalam perutusan HUT Ke-67 RSD,  Pengarah Peperangan Informasi mengajak semua anggota mengimbas kembali pencapaian RSD dari dahulu hingga kini agar setiap anggota menghormati pengorbanan serta sejarah supaya mereka lebih menghargai segala pencapaian RSD yang semakin hari melangkah ke mercu kejayaan tertinggi.

    “Saya mahukan semua warga RSD berperanan sebagai agen kepada pembangunan teknologi terkini berdasarkan kepada evolusi yang berlaku seiring dengan kematangan usia RSD.

    “Semua peringkat perlu matang dan pro-aktif dalam memperkasakan diri dan organisasi dengan kemajuan teknologi khususnya teknologi komunikasi yang makin pesat, ” kata Brig Jen Dato’ Basri Kasban.

    Tambah beliau lagi, tiada kompromi serta jalan singkat untuk mempersiapkan RSD dengan era ancaman dan peperangan masa kini selari dengan pembangunan Tentera Darat yang membangunkan keupayaan peperangan informasi merangkumi peperangan elektronik dan peperangan siber.

    Disamping itu, sememangnya keupayaan peperangan informasi diberi fokus yang tinggi oleh RSD dimana pembangunan keupayaan ini sedang dikemaskini melalui doktrin dan spesifikasi peralatan bagi memastikan value for money dan memberikan output terbaik kepada perkhidmatan.

    Turut hadir, pegawai kanan RSD, mantan pegawai kanan dan Veteran RSD.

    Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya