Bersama PemimpinSemasaTrup TD

Sultan Kedah Dianugerah Beret Merun Kehormat

MELAKA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu Diraja dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para di Dataran ParaWood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja Para (8 RRD Para) pada 13 Feb 2018.

Baginda telah berkenan untuk menerima penganugerahan tersebut yang dipersembahkan oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dan disaksikan Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Terdahulu dari itu, baginda dan delegasi Diraja dipertontonkan dengan Demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS), Renang Tempur, Repelling, Abseiling, Fast Roping,Tactical Combat Casualty Care (TCCC), serangan seksyen dan Human Wave yang melibatkan 54 pegawai dan 1129 anggota Lain-Lain Pangkat dari pasukan di bawah naungan 10 Bgd (Para).

Sebaik sahaja selesai acara penganugerahan, Sultan Kedah dipersembahkan dengan Para War Dance atau Tarian Perang yang mana persembahan ini melambangkan keberanian dan kekuatan pahlawan dan hanya dipertontonkan kepada tetamu kehormat negara.

Penganugerahan ini bersempena keberangkatan baginda yang juga Kol YDP RAMD yang sudi mencemar duli melakukan lawatan Diraja ke pasukan-pasukan RAMD bagi mengetahui sejarah, istiadat dan perkembangan terkini mengenai pasukan berkenaan.

Selain itu, penganugerahan beret merun dan sayap penerjunan yang menjadi kebanggaan 10 Bgd (Para) adalah penghormatan dan pengiktirafan Bgd itu terhadap individu, pemimpin tertinggi tentera dan kerajaan sama ada dalam atau luar negara.

Mengimbas keperibadiannya, baginda  diangkat sebagai Sultan Kedah Ke-29 pada 12 Sep 2017 selepas kemangkatan Al Marhum Al-Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan baginda menerima latihan ketenteraan di Akademi Ketenteraan India Dehradun pada 23 Jul 1962 hingga 30 Jun 1963 lalu ditugaskan sebagai Lt dan ditempatkan dengan Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja pada Feb 1964 serta pernah  terlibat dalam beberapa operasi keselamatan di kawasan sempadan Thailand.

Turut hadir Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tunku Laksamana Kedah, Tunku Shazuddin Ariff, Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Ir. Idris Haron dan Panglima 3 Div Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah.

 

Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali

 

 

 

.

Artikel Berkaitan

Back to top button

bonus new member

sicbo online