Tag: 10 BGD PARA

  • TDM Dan TNI-AD Berkongsi Strategi Dalam Eks LINUD MALINDO

    TDM Dan TNI-AD Berkongsi Strategi Dalam Eks LINUD MALINDO

    MELAKA: Upacara Penutup Eksesais LINUD MALINDO yang melibatkan Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (17 RAMD (Para)) dan Yonif Para Rider 432 telah berlangsung di Dataran Parawood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para) (8 RRD (Para)) pada 8 Ogos 2022.

    Eksesais LINUD MALINDO merupakan latihan bilateral secara tahunan berkonsep Operasi Lintas Udara (Airborne Operation) di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) yang dikelolakan khususnya oleh Briged Ke-10 (Para) (10 Bgd (Para)) dengan kerjasama KOSTRAD TNI-AD (SATGAS LINUD – Satuan Tugas Lintas Udara).

    Objektif eksesais adalah bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua angkatan TDM dan TNI-AD untuk berkongsi pengalaman, kebolehan serta kepakaran, di samping meningkatkan lagi hubungan professional  ketenteraan di antara Malaysia dan Indonesia.

    Tambahan lagi, Eksesais LINUD MALINDO ini berbentuk latihan pertahanan yang dirangka untuk mengintergrasikan kedua-dua angkatan TDM dan TNI-AD dalam menjalankan peranan dan tugas strategik.

    Eksesais ini telah berlangsung selama 10 hari, bermula dari 1 hingga 10 Ogos 2022 yang melibatkan tiga fasa latihan iaitu Fasa Persiapan, Fasa Pelaksanaan dan Fasa Penilaian.

    Sempena acara penutup, Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Panglima Divisi Infanteri 3 KOSTRAD, Mayor Jenderal TNI Dwi Darmadi bersama Delegasi TNI-AD menyertai acara Fun Shooting yang diadakan di Lapang Sasar PIAW diikuti acara MALINDO Fun Run.

    Acara penutup diteruskan dengan Upacara Perlucutan Toha Eksesais dan Pemakaian Sayap Penerjunan yang disempurnakan oleh Panglima 10 Bgd (Para) serta Panglima Divisi Infanteri 3 KOSTRAD.

    Panglima 10 Bgd (Para) dalam ucapannya menyatakan bahawa setiap objektif yang disasarkan telah berjaya dicapai dengan baik berkat semangat setiakawan dan kerjasama yang ditunjukkan kedua-dua pihak.

    Eksesais yang dilaksanakan ini sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan dalam memfokuskan kerjasama ketenteraan serantau dan antarabangsa.

    Gambar: LKpl Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Majlis Khatam Al-Quran TD Dan Iftar Warga Kem Terendak Bersama PTD

    Majlis Khatam Al-Quran TD Dan Iftar Warga Kem Terendak Bersama PTD

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan isteri, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) dan Berbuka Puasa bersama Warga Kem Terendak bertempat di Masjid As Syuhada pada 20 Apr 2022.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan Khatam Al-Quran dan diteruskan dengan acara penyampaian cenderahati kepada peserta Tadarus Al-Quran terdiri daripada lima pegawai dan seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang disempurnakan oleh PTD.

    Acara diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa serta Solat Maghrib secara berjemaah dan kemudian PTD diiringi pemangku Panglima 10 Bgd (Para), Kol Khairul Anwar Soib untuk menyalakan meriam buluh sebagai simbolik perasmian acara berbuka puasa sebelum hadirin disajikan dengan jamuan makan malam.

    Selain itu, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha menyampaikan sumbangan kepada 10 orang anak yatim dari Lembaga Pengurusan Anak Yatim dan Miskin Islam (PAYASUM) serta empat orang balu TD penerima sumbangan daripada Sinar Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM).

    Manakala, PTD pula menyempurnakan acara penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, saudara baharu dan anggota yang cedera kepada seramai 31 pegawai dan anggota LLP daripada pasukan-pasukan di bawah naungan Kem Terendak.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada PTD oleh pemangku Panglima 3 Div, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • KSU MinDef Lawat 1 RAD (Para)

    KSU MinDef Lawat 1 RAD (Para)

    MELAKA: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah mengiringi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dalam lawatan ke Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) (1 RAD) (Para) pada 28 Nov 2020.

    Ketibaan beliau disambut oleh Pegawai Memerintah 1 RAD (Para), Lt Kol Zakaria Saip Lani lalu mendengar taklimat secara walking brief oleh Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Datuk Ir Anhar Anuar.

    Lawatan diteruskan dengan KSU meninjau keadaan pembinaan garaj baharu meriam 105mm LG1 MK III bagi tiga bateri meriam 1 RAD (Para).

    Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Hj Ruji Hj Ubi, Panglima 3 Div Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Tentera Darat, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid, Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Hj Semaon Hj Marjuki, Asisten Ketua Staf Logistik TD, Brig Jen Roslan Hj Shaari dan Pengarah Artileri, Brig Jen Dato’ Dr Hj Ibrahim Yasir.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • PTD Ke-28 Di Anugerah Beret Merun

    PTD Ke-28 Di Anugerah Beret Merun

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) disempurnakan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Hj Semaon Hj Marjuki bertempat di Dataran Parawood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para) pada 9 Okt 2020.

    Terdahulu dari itu, PTD dipertonton dengan persembahan demontrasi oleh 10 Bgd Para melibatkan 10 pegawai dan 1046 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Zakaria Saip Lani dari Rejimen Pertama Artileri Diraja Para.

    Antara demontrasi yang diadakan adalah seperti pertunjukan payung terjun bebas dari Tim Penerjun Bebas Kompeni PANDURA diikuti acara Para Ground Traning, Freefall, Repelling/Abseiling/Fast Roping, Tempur Tanpa Senjata (TTS), Renang Tempur dan Tactical Combat Casualty Care (TCCC).

    Acara kemudiannya diteruskan dengan penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) dan PTD dipersembahkan Para War Dance atau Tarian Perang yang mana persembahan ini melambangkan keberanian dan kekuatan pahlawan para.

    Objektif utama penganugerahan ini adalah sebagai penghormatan dan pengiktirafan 10 Bgd (Para) terhadap individu, pemimpin tertinggi tentera dan kerajaan sama ada dalam atau luar negara.

    Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Pegawai Kanan TD.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • PTD Lawat 10 Bgd (Para)

    PTD Lawat 10 Bgd (Para)

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melakukan Lawatan Ulung beliau ke 10 Briged Para (10 Bgd Para) pada 9 Okt 2020.

    Sebaik ketibaan PTD, beliau disambut oleh Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Hj Semaon Hj Marjuki seterusnya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Nik Abdul Hadi Nik Hassan di Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja Para (8 RRD Para).

    Selesai KKU, PTD diperkenalkan kepada pegawai-pegawai seterunya sesi bergambar dan beliau dibawa ke Bilik Gerakan 10 Bgd Para untuk mendengar taklimat lawatan disampaikan oleh Panglima 10 Bgd (Para) berkaitan perkara Operasi, Pentadbiran, Logistik serta Pelan Tindakan 10 Bgd (Para) terhadap pelan 3P 5T berdasarkan Perintah Ulung PTD.

    Selain itu, PTD juga menyeru kepada pegawai-pegawai yang hadir supaya menjaga kebajikan anggota bawahan dengan melaksanakan lawatan kebajikan kepada anggota yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pemimpin.

    Selesai taklimat PTD melakukan lawatan kebajikan dengan menyantuni anggota 10 Bgd (Para) yang mengalami kurang upaya dan keuzuran.

    Beliau berkesempatan meluangkan masa menziarahi keluarga dua anggota iaitu anggota pertama LKpl Zulkefli Ibrahim yang bertugas di Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) yang disahkan menghidap Kanser Limfoma Tahap 3 dan kini sedang menjalani rawatan ulangan kimoterapi dan radioterapi di Institut Kanser Negara, Putrajaya dan Hospital Besar Melaka.

    Anggota kedua, PTD telah menziarahi Kpl Jackson Sebastian yang bertugas di 8 RRD (Para) yang disahkan mengalami Jangkitan Kuman di injap jantung dan telah menjalani pembedahan manakala anak beliau adik Vicykie Linpau,12 tahun, turut menghidap penyakit Hydrocephalus iaitu tumbesaran akibat dari pembengkakan di bahagian otak dan diklasifikasikan sebagai OKU.

    Kpl Jackson ketika ini menerima rawatan susulan setiap tiga hari di 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT), Kem Terendak dan anak beliau menerima rawatan pakar di Hospital Melaka di samping temujanji Pakar Neurologi di Hospital Kuala Lumpur.

    Dalam ziarah tersebut, PTD telah menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan harian, susu formula, peralatan persekolahan serta sumbangan wang ihsan.

    Turut hadir Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, pegawai kanan TD serta Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat (SMR TD), PW I Mohd Pauzi Mohd Ali.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • 42 Tahun Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki Mengabdikan Diri Dalam Tentera

    42 Tahun Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki Mengabdikan Diri Dalam Tentera

    MELAKA: Seramai 25 pegawai dan 905 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di bawah naungan 10 Briged (Para) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Mantan Panglima Angkatan Bersama (PAB), Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki bertempat di Padang Kawad Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD Para) pada 5 Sep 2020.

    Perbarisan tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki yang akan menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 8 Sep 2020 setelah hampir 42 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain hadir menyempurnakan perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 17 RAMD (Para), Lt Kol Anwar Zamani Jusop diiringi Pancaragam Gabungan 10 Bgd (Para).

    Majlis diteruskan dengan ucapan PTD yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki diatas khidmat bakti, jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini disamping menyeru kepada semua warga TD agar mencontohi ketokohan beliau sebagai sumber inspirasi dalam memartabatkan sebuah Kor yang unggul dan kredibel.

    Sepanjang perkhidmatan beliau, Lt Jen Dato’ Suhaimi telah menjawat pelbagai jawatan penting antaranya sebagai Panglima 10 Bgd Para, Penasihat Ketenteraan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Komandan di INSPEKA, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Panglima 4 Div, Panglima Latihan TD, Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Ketua Eksekutif di MiDAS dan juga Tim Ketua Nukleus di King Salman Center for International Peace (KSCIP).

    Bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam membendung dan memutuskan rangkaian penularan COVID-19, perbarisan dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota yang berbaris lebih jauh berbanding biasa serta mewajibkan pemakaian pelitup muka sesuai dengan norma baharu serta pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Hj Semaon Hj Marjuki.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • Commander In Chief RTA Terima Beret Merun Kehormat

    Commander In Chief RTA Terima Beret Merun Kehormat

    MELAKA: Commander In Chief, Royal Thai Army (C-in-C, RTA), Gen Apirat Kongsompong dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi bertempat di Dataran Parawood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para) pada 30 Jan 2020.

    Terdahulu dari itu, Gen Apirat Kongsompong dipertonton dengan persembahan demontrasi dari anggota 10 Bgd meliputi acara Tempur Tanpa Senjata, Tactical Combat Casualty Care (TCCC), Renang Tempur, Abseiling/Repelling, Fast Roping, Serangan Seksyen dan Human Wave.

    Acara kemudiannya diteruskan dengan penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) dan delegasi negara Thailand dipersembahkan Para War Dance atau Tarian Perang yang mana persembahan ini melambangkan keberanian dan kekuatan pahlawan para serta hanya dipertontonkan kepada tetamu kehormat negara sahaja.

    Selain itu, objektif utama penganugerahan ini adalah sebagai simbolik pengukuhan hubungan erat diplomatik dua negara dan kerjasama ketenteraan yang sedia terjalin di antara Royal Thai Army dan Tentera Darat Malaysia (TDM) khasnya serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya.

    Turut hadir mantan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Hj Zulkefili Mohd Zin (Bersara), Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, AKS CSM, Mej Jen Dato’ Badrul Hisham Muhammad, AKS Perisikan, Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin dan Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Hj Semaon Hj Marjuki.

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

    [custom-facebook-feed album=3229050503790509]

  • Lawatan Ulung PTD Ke MK 10 Bgd (Para)

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi  melakukan Lawatan Ulung beliau ke Markas 10 Briged Para (MK 10 Bgd Para) pada 16 Nov 2018.

    Sebaik ketibaan PTD, beliau disambut oleh Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal seterusnya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Fadzly Mohd Yasin di Padang Kawad Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja Para (17 RAMD Para).

    Selesai KKU, PTD diperkenalkan kepada pegawai-pegawai seterunya sesi bergambar dan beliau dibawa ke Bilik Gerakan MK 10 Bgd Para untuk mendengar taklimat lawatan.

    Seterusnya PTD dibawa ke Para Integrated All Weather Multi Mission Range (PIAW) bagi menyaksikan persembahan tembakan oleh warga 10 Bgd Para.

    Serba ringkas berkenaan PIAW adalah Lapang Sasar pelbagai guna yang selamat, lengkap dengan pelbagai kemudahan fasilitas serta alat bantuan latihan menembak bagi setiap warga 10 Bgd (Para) dalam mengekalkan serta meningkatkan keupayaan kemahiran pengendalian senjata dan kepakaran menembak.

    Lawatan diakhiri dengan jamuan makan tengahari dan menandatangani Buku Lawatan Kerja.

    Turut hadir Ketua Pengarah Cawangan Operasi dan Latihan, Brig Jen Dato’ Haji Muhammad Anwar Abdullah dan pegawai kanan TD.

    Gambar: SSjn Vijay Gaunder Arikrishnan

  • Latihan RIMPAC 2018 Iktiraf Keunggulan 10 Bgd (Para)

    HAWAII: Kontijen 10 Bgd (Para) terdiri dari tiga pegawai dan 31 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah membuktikan keunggulan sebagai elemen Atur Gerak Cepat Tentera Darat (TD) semasa menyertai Latihan Dwi Tahunan bersama 14 buah negara di Hawaii, Amerika Syarikat.

    Latihan yang dianjurkan oleh US Pacific Command selama 42 hari bersama US Marine telah dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Force Integration Training, Latihan Menembak Individu dan Tim di Pokahalua Training Area dan Embarkation bersama Adelaide HMSS Carrrier manakala fasa akhir adalah serangan Amfibi di kawasan latihan Kaneohe Bay, Hawaii.

    Semasa latihan kemahiran menembak, kontijen Malaysia telah mendapat tempat kedua di dalam pertandingan Stress Shooting diantara negara yang lain.

    Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Dato’ Tengku Muhamad Fauzi Tengku Ibrahim telah berjumpa dengan semua anggota Rim of the Pacific (RIMPAC) untuk mengucapkan tahniah kerana telah mengharumkan nama ATM amnya dan TD khasnya.

    Gambar: Sjn Melvin

  • Ikatan Airborne Brotherhood Harus Diperkukuhkan-PTD

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim mahukan ikatan airborne brotherhood yang ada di dalam ketumbukan 10 Bgd Para haruslah diperkukuhkan dan saling bantu membantu sesama warganya bagi menghadapi cabaran pada masa kini.

    Selain itu perubahan persekitaran geo-strategik  di dunia sekarang yang mencetuskan pelbagai fenomena  memerlukan sebuah ketumbukan yang mampu diatur gerak dengan pantas, bersifat versatail serta keupayaan untuk mencapai ketentuan di peringkat strategik, operasional ataupun taktikal.

    “Oleh itu, keberkesanan 10 Bgd (Para) sebagai elemen pemukul akan bergantung kepada tahap kesiagaan dan keupayaan beroperasi di dalam spektrum yang pelbagai.

    “Ini memerlukan ketahanan mental yang tinggi, kekuatan fizikal yang jitu serta kesedaran keadaan yang menyeluruh di mana warga beret maroon sentiasa di dalam kesiagaan yang tinggi dalam apa jua aspek, sama ada organisasi, peralatan mahupun penyediaan kekuatan mental dan fizikal,” tegas PTD.

    Beliau berkata demikian semasa Majlis Jamuan Makan Tengahari di Dewan Makan Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja Para (17 RAMD Para) setelah selesai acara perasmian Galeri Sateria 17 RAMD (Para) yang merupakan galeri yang menyimpan segala sejarah berkenaan kejayaan, operasi dan pemimpin 17 RAMD (Para) pada 27 Jul 2018.

    Terdahulu dari itu, seramai 30 pegawai dan 1036 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan di bawah naungan 10 Bgd (Para) diketuai oleh Pegawai Memerintah 17 RAMD (Para), Lt Kol Anwar Zamani Jusop terlibat dalam Perbarisan Penghargaan PTD di Padang Kawad Pasukan 17 RAMD (Para).

    Perbarisan statik yang berkonsepkan Leading Parachute Battle Group (LPBG) itu bertujuan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh PTD semasa  berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya dan juga pernah menjadi Pegawai Memerintah 17 RAMD (Para) yang Ke-13  pada 1 Jun 1994 hingga 26 Jun 1995.

    Mengimbas keperibadiannya, beliau dilahirkan  di Terengganu pada 24 Feb 1959 dan mula menjalani latihan Pegawai Kadet luar negara di Royal Military Academy, Sandhurst pada 5 Sep 1977 hingga 3 Nov 1978 serta pernah berkhidmat di beberapa pasukan RAMD hinggalah menjawat jawatan sebagai PTD.

    Beliau juga terlibat secara langsung dalam Eksesais Halilintar yang telah dilaksanakan pada 10 Okt 1994, di mana detik bersejarah tersebut diterajui oleh beliau dengan melakukan Operasi Paracut yang menjadi intipati kepada penubuhan Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Acara perbarisan dimulakan dengan simulasi penyusupan para secara terjun bebas melibatkan enam penerjun yang merupakan anak jati 17 RAMD (Para) lalu PTD dipertontonkan dengan persembahan Tarian Perang 10 Bgd (Para) oleh kontinjen perbarisan di susuli dengan lapan anggota diturunkan secara taktikal dari helikopter Nuri melalui teknik Fast Rope yang membawa cenderahati kepada PTD.

    Turut hadir Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Mohd Ramli Jaafar, Panglima 3 Div,  Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Dato’ Tengku Mohammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Veteran 17 RAMD (Para).

     

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan dan Sjn Saiful Fazley Rusli

    [srizonfbalbum id=255]