NEGERI SEMBILAN: Seramai 36 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada 33 pegawai Tentera Darat, dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia dan seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia telah tamat berkursus secara rasminya dalam Majlis Penutup Kursus Sarjana Pengurusan Pemerintah Pasukan (KSPPP) Siri 21/2018 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Dewan Al-Farabi, Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (INSPEKA) pada 21 Dis 2018.
KSPPP adalah pendidikan pelajaran bertaraf Ijazah Sarjana dan mula dilaksanakan semenjak tahun 1996 melalui Memorandum of Understanding (MOU) di antara Kementerian Pertahanan dan Universiti Malaya (UM) bertempoh selama 12 bulan.
Sesi pembelajaran dibahagikan kepada tiga semester iaitu dua semester akademik yang dikendalikan UM dan satu semester ketenteraan yang dikendalikan oleh Staf Juruarah Institut ini yang mana setiap penuntut dikehendaki mengambil sembilan subjek teras dan tiga subjek elektif serta tesis yang telah ditetapkan bagi memenuhi 42 jam kredit seterusnya akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Pengurusan (Master of Management) oleh pihak UM bagi mereka yang berjaya menamatkannya.
Selain bertujuan untuk melahirkan dan memperkasakan pegawai-pegawai ATM menerusi pembelajaran pengurusan sebagai nilai tambah kepada kepakaran ketenteraan sedia ada ianya juga sebagai platform bagi perkongsian ilmu, idea serta pengalamat bagi memantapkan kemampuan Pegawai ATM dalam aspek pengurusan organisasi, material serta kewangan.
PTD dalam ucapannya, mahukan semua pegawai yang sentiasa menyumbang sesuatu kepada perkhidmatan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan dan kepakaran yang telah dipelajari.
“Setiap pemerintah memerlukan tahap komitmen dan tanggungjawab yang tinggi kerana bidang tugas pemerintah merangkumi skop yang luas dan ianya bukan mudah lantaran pelbagai cabaran dan tuntutan.
“Hakikat ini menyedarkan kita betapa pentingnya ilmu dalam pelaksanaan tugas kerana tanpa ilmu kita tidak mampu untuk mengambil tindakan atau membuat keputusan yang betul dan saksama,” tegas PTD.
Terdahulu PTD menyampaikan sijil kepada pegawai-pegawai ATM yang menghadiri Kursus Sarjana Pengurusan Pemerintahan Pasukan Siri 21/2018 dan anugerah Penuntut Terbaik disandang oleh Lt Kol Norhelmi Ismail dari Rejimen Askar Jurutera Diraja.
Turut hadir, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Wira Md Tajri Alwi, Komandan INSPEKA, Brig Jen Dr. A. Endry Nixon dan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM, Profesor Dr She Ruhana Isa.
Gambar: Kpl Ainur Aisyah Yahaya