MELAKA: Seramai 20 pegawai kanan dari pelbagai Kor Tentera Darat (TD) dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD yang disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Dewan Serbaguna Terendak pada 2 Apr 2019.
Pemakaian pangkat didahului oleh Lt Kol Jafri Sulaiman yang dinaikkan pangkat daripada Lt Kol ke Kol dan menjawat jawatan sebagai Kol Latih Markas Pemerintahan Medan Barat TD serta Lt Kol (Dr) Aeriza Dato’ Mohd Yusak dipakaikan pangkat yang sama dan menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah, Hospital TD Kem Syed Sirajuddin.
Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat kepada 18 pegawai kanan yang dinaikkan pangkat daripada Mej ke Lt Kol.
Dalam ucapan PTD, beliau menyatakan bahawa amanah yang lebih besar lazimnya diiringi tuntutan serta dugaan yang lebih mencabar dan sejauh mana amanah baharu mampu dijunjung terletak pada diri sendiri.
“Sebagai pemimpin, kitalah yang mencorakkan segala perancangan, strategi dan sebagainya di mana staf atau anggota hanya mengikut arahan dan panduan.
‘Semoga kita sama-sama menggalas amanah yang diberi dengan penuh komited, jujur dan ikhlas,” kata PTD.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Badrul Hisham Muhammad.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan