KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat Singapura, Major General Goh Si Hou melakukan Kunjungan Hormat ke atas rakan sejawatnya Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia di Wisma Pertahanan pada 8 Nov 2019.
Sebaik tiba di Perkarangan Wisma Pertahanan, Major General Goh Si Hou disambut oleh PTD lalu menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Mohd Shaiful Amir Omar.
Selesai KKU, PTD mengiringi beliau untuk diperkenalkan kepada Pegawai Kanan Tentera Darat dan seterusnya meneruskan acara kunjungan hormat di pejabat PTD serta menandatangani buku lawatan.
Major General Goh Si Hou telah dilantik sebagai PTD Singapura sejak pada 21 Mac 2018 yang lalu bertemu dengan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Darat Malaysia bertujuan untuk membincangkan inisiatif pengukuhan hubungan ketenteraan yang sedia terjalin antara dua negara sejak sekian lama.
Dalam pada itu juga, beliau turut berkesempatan melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin di Wisma Pertahanan.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari serta acara penyerahan cenderahati dan buku Dari Meja PTD sebagai kenangan kepada Panglima Tentera Darat Singapura, Major General Goh Si Hou bersama rombongan beliau di Wisma Perwira ATM.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan pegawai kanan TD.
Gambar: Saifun Hakimi, Kpl Ainur Aisyah