KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mantan Ketua Pegawai Semboyan (KPS), Brig Jen Hj Zakaria Hj Abu diatas khidmat bakti dengan mengorbankan seluruh jiwa dan raganya sepanjang 40 tahun perkhidmatan di dalam tentera.
“Setiap yang bermula pasti akan berakhir dan kini tiba masanya untuk Brig Jen Hj Zakaria Hj Abu meletakkan noktah perjalanan perkhidmatannya yang cemerlang dan kita perlu akur dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Ilahi,” jelas PTD.
PTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Mantan KPS Ke-16, Brig Jen Hj Zakaria Hj Abu di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Perdana, Sungai Besi pada 17 Dis 2020.
Tambah PTD lagi, TD dan RSD merasa sedih dan terharu kerana kehilangan seorang lagi pegawai kanan yang tidak jemu-jemu mencurahkan khidmat bakti kepada nusa, bangsa dan negara tercinta ini.
Terdahulu dari itu, PTD menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan terdiri daripada empat detasmen diketuai oleh Lt Kol Mohd Azri Abdullah serta diiringi Pasukan Pancaragam Wanita Rejimen Semboyan Diraja (RSD).
Mengimbas keperibadian Brig Jen Hj Zakaria Hj Abu, beliau mula menceburi bidang ketenteraan dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet di Port Dickson pada 9 Okt 1980 dan ditauliahkan ke Kor RSD dengan pangkat Lt Muda pada 27 Jun 1981.
Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Pegawai Staf 2 Alat dan Pegawai Staf 1 Pembangunan di Cawangan Perancangan Dan Pembangunan Tentera Darat (MKTD-Cwg P&P), Pegawai Memerintah Rejimen Perhubungan Strategik (RPS) di Markas Angkatan Tentera Malaysia – Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (MK ATM–KOMLEK) dan Ketua Pegawai Semboyan Ke-16.
Sementara itu, dalam ucapan Mantan KPS, beliau menzahirkan rasa penuh kesyukuran dan menzahirkan ucapan penghargaan kepada PTD di atas kesudian beliau hadir bersama-sama pada perbarisan penghargaan persaraannya.
Acara diakhiri penyampaian cendera kenangan kepada Mantan KPS dan jamuan ringan di Sri Pronto Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED).
Turut hadir dalam Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej Jen Dato’ Hj Zawawi Hj Adam, Ketua Pegawai Semboyan Ke-17, Brig Jen Dato’ Ahmad Saifuddin Talha dan Pengarah Peperangan Informasi, Brig Jen Dato’ Basri Kasban serta pegawai-pegawai kanan RSD.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime