KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan selaku Pemangku Panglima Angkatan Tentera (PAT) menyempurnakan Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan 1445H dan Sumbangan Tabung Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan pada 6 Mac 2024.
Pelancaran ini merupakan pengumpulan dana daripada markas-markas perkhidmatan yang telah dihebahkan sebelum ini bagi membiayai program dan aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan 2024M/1445H.
Terdahulu, acara dimulakan dengan forum bertajuk ‘Falsafah Puasa dari Perspektif Agama dan Sains’ yang dibahaskan oleh Al-Fadhil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Kol (Dr) Nurzeti Shaik Ahmad sebagai ahli panel manakala Mej Syed Akhirudin Syed Yahya yang merupakan johan Kategori Daie dalam Pertandingan MAKSAK Islamic Carnival (MIC) 2023 bertindak sebagai moderator.
Seterusnya, Pemangku PAT menyaksikan penyerahan dana Ihya Ramadan daripada markas-markas perkhidmatan sekaligus menjadikan jumlah terkumpul setakat ini sebanyak RM 11,799 untuk pelaksanaan pengimarahan Program Ihya’ Ramadan.
Majlis kemudian dilanjutkan dengan penyampaian sumbangan Tabung Zakat ATM sebanyak RM 194,900 oleh Pemangku PAT kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan bagi melaksanakan program dan aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan 1445H.
Selain itu, majlis ini juga mendapat kerjasama penaja daripada Lembaga Pengarah Affin Islamic Bank Berhad yang telah menyumbangkan mock cheque bernilai RM 250 ribu kepada Tabung Zakat ATM.
Melalui program ini, diharap dapat memberikan manfaat kepada mereka yang memerlukan serta memperkuat nilai-nilai keagamaan dan kebajikan dalam kalangan anggota ATM dan masyarakat secara keseluruhan.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Ketua Staf MK ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul