KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pelancaran 99 Rejimen Semboyan Peperangan Siber (99 RSPS) bertujuan memperkasakan keupayaan dan kesiagaan menghadapi cabaran serta ancaman siber dari pelbagai domain pada 2 Mac 2021.
Misi utamanya adalah untuk menguasai domain siber bagi mencapai objektif Peperangan Informasi Tentera Darat (TD) yang merangkumi operasi di dua wilayah sama ada di dalam masa aman, konflik atau peperangan.
Pada masa kini, era transformasi digital yang mengubah landskap peperangan dan pengadaptasian keupayaan kinetik dan bukan kinetik adalah langkah penting dalam permodenan sistem pertahanan sesebuah negara.
Mengambilkira perolehan aset dan sistem terkini, TDM akan terus berusaha untuk memperkukuh, mempertahankan dan mengintegrasikan Sistem Command, Control, Communication, Computer, Inteligence, Reconnaissance and Targetting (C4ISRT).
Terdahulu PTD ditaklimatkan berkenaan Sistem Operasi Siber Taktikal dan acara diakhiri dengan PTD melakukan lawatan tapak bangunan baharu Pusat Operasi Siber TD di kawasan berhampiran.
Perasmian ini merupakan insiatif yang mendukung Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi