KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa Maktab Tentera Diraja (MTD) banyak melahirkan pemimpin ulung negara serta beliau yakin dan percaya Putera MTD boleh menyambung legasi ini dan menjadi peneraju Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimasa akan datang.
Ini terbukti kerana MTD merupakan salah sebuah institusi pendidikan peringkat menengah yang amat berbeza berbanding sekolah-sekolah lain kerana pelajar MTD didedahkan pelbagai ilmu baik dari aspek akademik mahupun ketenteraan.
“Pengalaman yang berharga ini membolehkan anda untuk terus membentuk jatidiri, memupuk sikap positif serta membina daya kepimpinan unggul untuk mencipta kejayaan apabila di menara gading dan seterusnya apabila bekerjaya kelak.
“MTD merupakan platform yang cukup holistik dan lengkap dalam menyediakan para Putera MTD sebelum mereka melangkah keluar serta menjadi wadah terbaik untuk bekalan dimasa akan datang,” jelas Menteri Pertahanan semasa menyempurnakan upacara Perbarisan Tahunan Putera MTD yang diadakan di Padang Kawad MTD pada 2 Apr 2021.
Tambahnya lagi, beliau turut mengingatkan bahawa cabaran sebenar Putera bukanlah semasa di MTD, tetapi apabila Putera telah melangkah keluar dari MTD dengan membawa bekalan sebagai seorang bekas Putera MTD.
Perbarisan pada kali ini diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK), Ahmad Amer Izwan Mazelan yang berkekuatan seramai 442 Putera yang terdiri daripada 200 Putera Tingkatan Lima tahun 2020 dan 242 Putera Tingkatan Lima tahun 2021.
Selain itu, Menteri Pertahanan turut menyampaikan hadiah kepada Putera MTD mengikut kategori antaranya adalah, Johan Kompeni Pengarah Pengajian, Anugerah Lembaga Tadbir, Anugerah Pengarah Pengajian, Anugerah Komandan dan Anugerah Menteri Pertahanan.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pemenang dan Penuntut Terbaik serta beliau mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai akan menjadi inspirasi untuk terus maju.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon