Bersama PemimpinCovid19LawatanOP PENAWARSemasa

Tambah Pasukan Pemantau Dan Tingkatkan Penguatkuasaan SOP – Menteri Kanan Pertahanan

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan sebanyak 30 agensi telah terlibat dalam Task Force Operasi Pematuhan setakat ini dan jumlah tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa bagi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negara ini.

“Sehingga 1 Jun 2021, beberapa kementerian telah mengambil tindakan terhadap kilang-kilang dan premis-premis perniagaan yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti beroperasi lebih waktu, beroperasi dengan kapasiti melebihi 60 peratus dan ada juga yang masih beroperasi walaupun telah diarahkan tutup.

“Oleh yang demikian, kerajaan telah membuka talian hotline bagi menggalakkan rakyat membuat aduan melalui Malaysian Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000, 80008000@mygcc.gov.my atau email ke aduan.pematuhan@mkn.gov.my.

“Selain itu, aduan juga boleh dibuat di talian hotline Kementerian Sumber Manusia (KSM) di 03-8886 2409, 03-8886 2352 dan 03-8888 9111 bagi semua aduan berkenaan pelanggaran SOP,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Ampang pada 5 Jun 2021.

Tambah beliau lagi, pekerja perlu melaporkan jika majikan didapati melanggar syarat kapasiti 60 peratus yang dibenarkan, dipaksa bekerja walaupun memakai gelang kuarantin serta jika syarikat merupakan bukan daripada kategori perkhidmatan perlu (essential service).

“Tindakan tegas akan diambil serta-merta oleh Task Force Operasi Pematuhan seperti mengeluarkan kompaun dan mengarahkan penutupan operasi syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan diberi taklimat ringkas mengenai pengoperasian serta melihat sendiri keadaan dan kesiapsiagaan anggota pasukan yang terlibat dalam operasi SJR diiringi Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Seramai 1,016 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Askar Wataniah telah diatur gerak semasa total lockdown bagi membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk penugasan SJR, serta lain-lain penugasan seperti pos statik dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) di seluruh negara melalui Op PENAWAR.

Jumlah tersebut adalah sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan penglibatan Anggota Tetap Tentera Darat (TD) iaitu seramai 4,714 pegawai dan anggota LLP.

Lawatan diakhiri dengan penyampaian sumbangan bantuan makanan dan peralatan kepada petugas-petugas di pos SJR.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz.

Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button