NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyifatkan demonstrasi dinamik yang dipamerkan merupakan manifestasi Tentera Darat (TD) kepada kerajaan dan rakyat bahawa TD sentiasa bersedia pada sebilang masa dan berupaya melaksanakan segala tugasan serta misi yang diamanahkan.
“Sepanjang tempoh 89 tahun, TD telah menempa kejayaan demi kejayaan, antaranya menamatkan pemberontakan komunis, mematahkan konfrontasi oleh negara jiran, memainkan peranan signifikan sebagai pengaman di negara-negara bergolak, menggagalkan pencerobohan anasir-anasir pengganas serta menjadi peranan utama dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam.
“Dalam Amanat Tahun 2022, kita telah mencapai banyak kejayaan untuk kelima-lima tonggak yang digariskan hasil daripada kerja keras serta komitmen tinggi yang diberikan oleh seluruh warga TD.
“Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara yang belum dicapai sepenuhnya seperti tertangguhnya beberapa rancangan perolehan, jumlah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) belum mencukupi, kelengkapan Head To Toe belum mencapai tahap seratus peratus serta kekangan pelaksanaan kerjasama pertahanan akibat penularan wabak COVID-19,” ujar PTD dalam perutusannya semasa Perbarisan Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 di Padang Kawad Kem Segenting pada 1 Mac 2022.
Tambah beliau lagi, memandangkan aspek meningkatkan kebajikan warga TD akan terus diberi tumpuan, maka tema HTD pada tahun ini, Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin.
Secara tidak langsung, pemilihan tema ini sejajar dengan amanat yang disampaikan oleh beliau minggu lalu yang menggariskan enam fokus iaitu aspek kesejahteraan dan kebajikan warga TD, usaha meningkatkan kesiagaan dan keupayaan TD, penstrukturan dan penyusunan organisasi TD, pemerkasaan tadbir urus dan perbelanjaan berhemah, meningkatkan diplomasi pertahanan dan komitmen TD untuk membantu kerajaan dalam Military Operations Other Than War (MOOTW).
PTD turut menyatakan cabaran yang mungkin boleh menjejaskan usaha mencapai fokus tahun ini adalah ketidakstabilan persekitaran geo-politik dunia serta ancaman penularan wabak COVID-19 yang masih belum menampakkan pengakhirannya.
“Saya menyeru kepada semua peringkat kepimpinan untuk sentiasa mempersiapkan anggota masing-masing dengan melaksanakan latihan yang berkesan, menerapkan kemahiran-kemahiran khusus serta meneguhkan aspek kerohanian dan jati diri anggota sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” tegas PTD.
Terdahulu, PTD menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum diteruskan dengan segmen demonstrasi dinamik yang mempersembahkan 72 aset serta persenjataan membabitkan kenderaan seperti kereta kebal PT 91-M Pendekar, Lipan Bara, kenderaan perisai 8×8 Gempita dan kenderaan perisai berantai Adnan.
Turut dipertontonkan Meriam 105mm LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, kenderaan pengangkut senjata VAMTAC, motorsikal Scrambler, 72 Bot Tempur, Rigid Inflatable Boat (RIB) dan lain-lain aset.
Selain itu, perbarisan tempur berkekuatan seramai 35 pegawai dan 753 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) melibatkan lapan detasmen terdiri daripada detasmen Tempur Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), detasmen Gerup Gerak Khas, detasmen 10 Briged (Para), detasmen Tempur 3 Div, detasmen Bantuan Tempur 3 Div, detasmen Bantuan Tempur 2 Div, detasmen Bantuan Khidmat 2 Div dan detasmen Wanita TD turut melaksanakan Kawad Berjalan Lalu Dalam Masa Cepat melintasi pentas hormat.
Seterusnya, PTD turut menyempurnakan acara penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Pisau Tempur TD, Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) 2021 dan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT) 2021.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.
Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon.