KUALA LUMPUR: Ketua Staf Markas Tentera Darat (KS MK TD), Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dalam ucapannya memberi peringatan kepada semua peringkat pegawai dan anggota di MK TD bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati menyalurkan maklumat berdarjah kepada pihak yang tidak sepatutnya.
KS MK TD juga menasihatkan agar setiap individu mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu serta kenaikan kos sara hidup.
Selain itu, beliau mengingatkan agar staf menggunakan kemudahan elektrik dan air di pejabat secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran dan peningkatan kos.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Perbarisan MK TD Tahun 2022 anjuran Jabatan Arah Rejimen Askar Jurutera Diraja (Jab RAJD) di Dewan Seroja, Kem KEMENTAH pada 23 Ogos 2022.
Perbarisan berkonsep statik ini terdiri daripada 23 detasmen melibatkan seramai 161 pegawai dan 184 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang mana tidak dapat dilaksanakan di Padang Kawad Kem KEMENTAH disebabkan cuaca tidak mengizinkan.
Upacara dimulakan dengan nyanyian lagu Gagah Setia dan diikuti acara pemakaian pangkat seramai 10 anggota LLP yang disempurnakan oleh KS MK TD.
KS MK TD merakamkan ucapan tahniah kepada anggota yang dinaikkan pangkat serta mengingatkan mereka agar sentiasa berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas.
Aktiviti perbarisan seumpama ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf (AKS) Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali, AKS Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman, Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail dan pegawai-pegawai kanan MK TD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul