NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein melakukan lawatan kerja ke atas warga Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) di Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja (11 KAD), Kem Syed Sirajuddin pada 19 Okt 2022.
Dalam sesi lawatan ini, Menteri Kanan Pertahanan berkesempatan meluangkan masa menyantuni warga 3 Div dan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada lima anggota serta ahli keluarga yang mengalami komplikasi kesihatan selain membantu mengurangkan bebanan keluarga anggota.
Penerima sumbangan didahului oleh Kpl Muhammad Amin Abu Yazit dari Markas Garison Gemas yang disahkan mengalami kecacatan kekal akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kehilangan kedua-dua anaknya manakala isteri beliau mengalami kecederaan retak tulang punggung dan sakit di bahagian dada serta pinggang. Kini, anggota masih menerima rawatan susulan di Hospital Segamat dan 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT).
Seterusnya Gnr Halvin Ling Sudin merupakan anggota Pusat Latihan Artileri (PUSARTI) yang disahkan mengalami masalah pada saraf kaki serta masih menerima rawatan susulan.
Kemudian, anak kepada Kpl Mohd Rosniza Omar dari Skuadron Keempat Rejimen Askar Jurutera Diraja (Jambatan) (4 Skn RAJD (Jn)) iaitu adik Muhammad Adib Naufal, tujuh tahun mengalami masalah komplikasi jantung dan paru-paru. Adik Naufal masih menerima rawatan susulan di Hospital Melaka dan Institut Jantung Negara (IJN).
Penerima sumbangan seterusnya, adik Qurratu Mia Najwa, sembilan tahun anak kepada LBdr Mohammad Syawal Sapian merupakan anggota Rejimen Ke-21 Artileri Diraja (21 RAD) yang disahkan menggalami masalah saraf telinga menyebabkan kedua-dua telinga tidak dapat mendengar. Adik Qurratu menerima rawatan susulan setiap tiga bulan di Hospital Segamat.
Penerima sumbangan terakhir ialah anak kepada Mej Mohd Zailani Che Pin dari 21 RAD iaitu adik Muhammad Aqif Rizqi yang menghidapi penyakit Pfeifer Syndrom dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) 8 Apr 2021. Adik Aqif masih menerima pemeriksaan susulan di Hospital Melaka dan Hospital Kuala Lumpur secara berkala.
Menteri Kanan Pertahanan mengakhiri sesi lawatan dengan beramah mesra bersama pegawai dan anggota yang sedang melaksanakan raptai bersempena Perbarisan Panglima 3 Div.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM, Mej Jen Dato’ Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima 3 Div, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Tuan Mohammad Farizal bin Tuan Dir
#KesejahteraanWargaTD