KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah mencemar duli ke Majlis Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2015 yang dianjurkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertempat di Dataran Merdeka pada 31 Jul 2015.
Istiadat Perbarisan melibatkan lima detasmen terdiri dari Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), PDRM dan Pesara PDRM diketuai oleh Ketua Perbarisan, Deputi Superintendan Polis(DSP) Muhammad Zani serta Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Sambutan Hari Pahlawan ini menjadi acara tahunan di peringkat kebangsaan khusus untuk memperingati serta mengenang jasa perwira-perwira yang berjuang menegakkan keamanan dan kebebasan negara daripada penjajahan, ancaman komunis serta pihak luar satu ketika dahulu hingga kini.
Terdahulu dari itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melakukan Pemeriksaan KKU dan acara diteruskan dengan Tiupan Paluan Akhir, Deklamasi Sajak Pahlawan, Persembahan Sejarah Pejuang-pejuang Negara serta tiga kali Laungan Daulat Tuanku.
Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Timbalan PM, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkefli Mohd Zin.
Gambar: Sjn Vijay Gaundar Arikrishnan