KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan secara rasmi memulakan tugas selaku pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 5 Dis 2022.
Sejurus tiba di Dataran Wisma Pertahanan, beliau disambut oleh Ketua Setiausaha (KSU) KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz bersama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Seterusnya, beliau menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Mohd Syahril Jopri.
Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan awam seterusnya mengakses Kad Kerja Wisma Pertahanan sebagai simbolik bermulanya hari pertama beliau di Wisma Pertahanan.
Terdahulu, pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, disusuli dengan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan yang disempurnakan di hadapan KDYMM SBP YDP Agong pada 3 Dis 2022.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, barisan pegawai kanan ATM serta staf-staf KEMENTAH.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Saifun Hakimi Zainon