NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Bersama (PAB), Lt Jen Dato’ Indera Hj Yazid Hj Arshad TUDM melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat melihat seluruh warga kontijen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-9 selamat kembali ke tanah air serta berjaya melaksanakan operasi secara berkala bersama Angkatan Tentera Lubnan.
MALBATT 850-9 berkekuatan seramai 82 pegawai dan 769 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pegawai dan anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang diketuai oleh Kol Megat Maz Ardi Nohuddin selaku Komander MALBATT 850-9.
Terdahulu, ketibaan PAB disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan sebelum menyempurnakan Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-9 bertempat di Padang Kawad Kem Segenting pada 5 Dis 2022.
Penganugerahan Pingat PNBB kontinjen MALBATT 850-9 adalah satu pengiktirafan serta kejayaan semasa menjalankan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah PBB di Lubnan selama 415 hari di mana ianya mula diaturgerak pada 30 Sep 2021 sehingga 18 Nov 2022.
Sepanjang penugasan, kontinjen MALBATT 850-9 mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus menjaga nama baik negara, ATM dan ABDB dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.
Majlis Perbarisan Pembubaran diteruskan dengan pemberian cenderahati yang disampaikan oleh Komander MALBATT 850-9 sebagai tanda penghargaan kepada PAB dan Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Yang Mulia Brig Jen (Udara) Dato’ Seri Pahlawan Hj Alirupendi Hj Perudin di Dewan Serbaguna Kem Segenting, diiringi dengan persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat.
Turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir.