KUALA LUMPUR: Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (19 RAMD (Mek)) berjaya menjulang Piala Sultan Sallehuddin Tahun 2022 setelah menewaskan Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (17 RAMD (Para)) dengan jaringan satu (1) berbalas kosong (0) dalam perlawanan akhir bola sepak yang berlangsung di Stadium Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 19 Jan 2023.
Kemelut berhubung aksi pemain pada suku akhir kedua akhirnya selesai menerusi gol tunggal hasil sepakan percuma oleh pemain 19 RAMD (Mek).
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain diiringi oleh Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) merangkap Pengerusi RAMD, Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri diperkenalkan kepada para pemain sebelum menyempurnakan gimik perasmian perlawanan akhir.
Kejohanan yang disertai sebanyak 26 buah pasukan RAMD ini diadakan untuk mewujudkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi selain menjadi platform dalam memilih pemain berpotensi bagi mewakili RAMD di peringkat Tentera Darat.
Usai perlawanan berakhir, PTD menyempurnakan upacara penyampaian hadiah yang mana Anugerah Penjaring Terbanyak disandang oleh Kpl Mohamad Amir Ahmad dari 14 RAMD (Mek) manakala Anugerah Pemain Terbaik dirangkul oleh LKpl Mohd Shahrul Anuar Sulaiman dari 19 RAMD (Mek).
Pasukan 19 RAMD (Mek) yang dinobatkan sebagai johan telah membawa pulang pingat emas, wang tunai bernilai RM4,000 serta piala pusingan manakala 17 RAMD (Para) selaku naib johan membawa pulang pingat perak dan wang tunai RM2,000.
Penglibatan dan semangat kesukanan yang dipamerkan dalam kejohanan ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir & Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein