NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (TLPM) Lelaki Siri 196/2022 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 24 Jun 2023.
“Pengambilan siri ini masih didominasi oleh bangsa Melayu iaitu seramai 1,586 orang, 496 orang etnik Sabah dan Sarawak, enam orang bangsa Cina dan 21 orang bangsa India yang menunjukkan bahawa penglibatan bangsa-bangsa lain dalam profesion ketenteraan masih berkurangan.
“Hasil dapatan beberapa kajian yang sudah dijalankan mendapati perkara ini berlaku disebabkan oleh beberapa sektor lain yang lebih menjanjikan keuntungan dan persekitaran lebih fleksibel berbanding kehidupan rejimental dalam tentera,” ujar PTD.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan TLPM yang menyaksikan seramai 2,063 Perajurit Muda (PM) berkelulusan Diploma, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menamatkan latihan.
Anugerah PM Keseluruhan Terbaik dianugerahkan kepada PM Mohamad Azmi Osman manakala Anugerah PM Ketenteraan Terbaik diberikan kepada PM Mohamad Noor Aiman Yusnizam dan diikuti dengan Anugerah Kawad Terbaik jatuh kepada PM Muhammad Aiman Roslam.
Anugerah Akademik Terbaik pula dinobatkan kepada PM Mohd Badri Bullare dan Anugerah Jasmani Terbaik disandang oleh PM Muhammad Zulhelmi Abdullah.
PTD mengalu-alukan kehadiran PM dalam organisasi Tentera Darat (TD) dan menegaskan kepada semua agar tidak terlibat dalam kes-kes tidak bermoral serta melanggar perintah dan arahan perkhidmatan sehingga mencemarkan imej TD.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar dan pegawai-pegawai kanan TD.