JOHOR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh beliau sepanjang 37 tahun mengabdikan diri dalam perkhidmatan.
“Pengalaman luas yang dimiliki oleh beliau membolehkannya menjadi seorang pegawai kanan yang amat berdedikasi, berwawasan dan berketerampilan.
“Justeru, kecemerlangan beliau yang banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran dalam merancang serta menguruskan keperluan Tentera Darat (TD) harus diteladani oleh seluruh warga RAJD,” ujar TPTD.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Penghargaan Persaraan Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan di Padang Kawad Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM) pada 12 Jul 2023.
Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat melibatkan empat detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai bersama 209 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Faizal Fadil dari Markas RAJD 2 Div dengan diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD).
Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan menyeru agar sokongan yang jitu terus diberikan kepada pucuk pimpinan TD khususnya RAJD agar kesinambungan kecemerlangan organisasi TD dapat diteruskan dengan sebaik mungkin.
Mengimbau latar belakang Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan, beliau mula menyertai tentera pada 1 Nov 1985 dan ditauliahkan dengan pangkat Lt serta menyandang jawatan sebagai Pegawai Terup di Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD).
Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau ialah Komandan IKEM, Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), Ketua Pengarah Pembangunan di Cawangan Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Darat, Ketua Jurutera dan Ketua Pengarah di Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP).
TPTD kemudian menyampaikan cendera kenangan kepada mantan Pengerusi RAJD sebelum diakhiri dengan acara Street Lining sebagai simbolik penghargaan kepada Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan.
Turut hadir, Pengerusi RAJD, Brig Jen Sharuddin Mohd Noh, Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad dan Ketua Pengarah BPKP, Brig Jen Ir Thevendran CS Maniam.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi