KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM mengucapkan terima kasih kepada warga Tentera Darat (TD) atas kejayaan perbarisan penghargaan yang diberikan kepadanya.
“Kesegakan dan kekemasan perbarisan memperlihatkan semangat yang tinggi serta tahap disiplin yang amat membanggakan.
“Saya amat menghargai segala usaha, masa dan komitmen yang telah diberikan dan sudah tentu ianya akan disimpan sebagai satu kenangan manis buat kami berdua,” jelas PAT.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Ke-21 di Dataran Panglima Tentera Darat (PTD) pada 27 Ogos 2023.
Tambah PAT lagi, beliau akan menyerahkan tampuk pemerintahan ATM kepada PTD, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman pada 6 Sep 2023.
“Penyerahan tugas ini bakal merekodkan tempoh hampir 44 tahun pengabdian saya dalam ATM amnya dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khasnya.
“Tempoh tiga tahun lapan bulan dan empat hari menjalankan tugas sebagai PAT merupakan pengalaman amat berharga dan pelbagai rintangan serta cabaran dapat diharungi dengan lancar berkat sokongan kerjasama segenap lapisan warga ATM,” katanya.
Beliau percaya keutamaan dan tanggungjawab setiap PAT masih kekal dan tidak banyak berubah namun apa yang berubah adalah pengharapan serta cabaran dalam membentuk naratif baharu.
“Kebijaksanaan kepimpinan TD yang ada pada hari ini akan dapat mendukung ATM memacu kejayaan, khususnya dalam merealisasikan reformasi Angkatan Masa Hadapan seperti mana yang telah dipersetujui bersama,” tegas PAT.
Terdahulu, ketibaan PAT dan isteri, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah disambut oleh PTD dan isteri, Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi untuk menerima Tabik Hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
Perbarisan Perhargaan Tentera Darat Kepada PAT Ke-21 ini melibatkan dua segmen iaitu segmen gimik perbarisan dan segmen perbarisan tempur.
Perbarisan tempur melibatkan 12 detasmen berkekuatan seramai 45 pegawai dan 1,130 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Lt Kol Mohd Shahrul Nizam Hamidon dan Terbang Lintas Hormat oleh dua buah Agusta A109 yang membawa bendera ATM dan bendera TD serta diiringi oleh tiga buah helikopter MD 530G diketuai oleh Mej Ramakrishnan Samugam.
Perbarisan diserikan lagi dengan deklamasi sajak istimewa bertajuk ‘Gempur Wira Teruntuk Satria’ hasil nukilan PW I Marzelan Md Jusoh yang disampaikan oleh Mej Mohd Ramle Hj Mustafa Kamal dan Sjn Siti Nuraini Jasnim.
Majlis kemudian diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan acara Street Lining di mana PAT dan isteri diarak dengan menaiki ACV 300 Adnan sebagai simbolik tanda penghargaan.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir