KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman selaku Kol Yang Dipertua (YDP) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bertitah agar semua warga pasukan sentiasa bersatu padu mengambil langkah sederap untuk menghormati kesucian Panji-Panji Rejimen ini.
Pada zaman dahulu, Panji-Panji Rejimen dipertahankan dengan seluruh jiwa raga agar ia tidak terlepas ke tangan musuh mahupun ianya rebah ke bumi.
“Genggamlah dan kotakanlah kata-kata azimat, Biar Bertabur Peluru Di Dada, Namun Undur Pantang Sekali dan marilah kita bersama-sama sanjungi penghargaan dan keyakinan yang diberikan oleh rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran ibu pertiwi.
Anda perlu memantapkan kesatuan serta meningkatkan kesiapsiagaan keupayaan tempur untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tercinta.”
Baginda amat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah yang diberi oleh rakyat serta menaruh sepenuh kepercayaan bahawa batalion ini dapat mengekalkan keyakinan tersebut.
Titah Kol YDP RAMD ketika mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Penganugerahan Panji-Panji Rejimen Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat (PTD) pada 4 Okt 2023.
Perbarisan istiadat penuh bersejarah ini terdiri daripada 23 pegawai dan 386 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah 23 RAMD, Lt Kol Mohd Azroi Ariffin Shah yang diiringi oleh Pancaragam Pusat RAMD bawah pimpinan Lt Mohd Fauzee Jaafar.
Acara dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan istiadat menepung tawar Panji-Panji yang baharu dianugerahkan oleh Kol YDP RAMD diiringi Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri merangkap Pengerusi RAMD sebagai simbolik pentauliahan Panji-Panji baharu diikuti lafaz ikrar oleh Ketua Perbarisan sebelum diakhiri dengan persembahan Watikah Ikrar kepada Kol YDP RAMD.
Panji-panji Rejimen yang baharu kemudiannya dibawa berarak sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mengenali panji-panji keagungan rejimen masing-masing.
Penganugerahan Panji-Panji Rejimen kepada 23 RAMD merupakan pengiktirafan, penghormatan dan lambang kesetiaan kepada raja dan negara serta dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi dan menjadi kemegahan batalion.
23 RAMD dengan slogan ‘Hubbul Watan Minal Iman’ membawa maksud profesionalisma dan pengorbanan demi cinta dan kasih sayang untuk agama, nusa dan bangsa adalah separuh daripada iman telah dianugerahkan panji-panji pada 4 Okt 2023 dan sebanyak satu Battle Honor telah tercatat di atas hamparan panji-panji ini dan ianya merupakan penganugerahan kali pertama buat batalion Hubbul Watan Minal Iman.
Sejarah penubuhan 23 RAMD pada asalnya merupakan Batalion Ke-11 Rejimen Askar Wataniah (RAW) yang ditubuhkan di Kem Sikamat, Seremban pada Dis 1961 sebelum dibubarkan dan keanggotaan batalion ketika itu dikenali sebagai 11 RAW terdiri dari anggota Tentera Tempatan Persekutuan (TTP).
Pertukaran nama rejimen dengan rasminya telah dilakukan pada 1 Mac 1979 bertempat di Stadium Angkatan Tentera, Kuala Lumpur sempena menyambut Hari Tentera Darat Ke-46 dan selepas itu batalion ini dikenali sebagai Batalion 23 RAMD dan ditempatkan di kem yang sama.
Selepas penubuhan tersebut, seramai 154 anggota kerahan telah diserap ke Angkatan Tetap bagi memenuhi perjawatan di dalam Kor RAMD dan bermula 7 Mei 2008, batalion ini distruktur semula sebagai Batalion Infantri Standard (BIS).
Penstrukturan semula ini melibatkan beberapa perubahan dan susunan, kekuatan anggota, kenderaan serta peralatan dan batalion ini telah ditadbir oleh 24 orang Pegawai Memerintah dan terkini Lt Kol Mohd Azroi Ariffin Shah merupakan Pegawai Memerintah Ke-25.
Turut hadir, Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Gambar: Muhamad Shafirin Md Radzi dan Saifun Hakimi Zainon