MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) yang disempurnakan oleh Panglima 10 Bgd (Para), Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal di Dataran Parawood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) (Para) pada 21 Okt 2023.
Ketibaan PTD disambut dengan Persembahan Tarian Ngajat dan di bawa ke Dataran Parawood 8 RRD (Para) bagi menyaksikan Demonstrasi Dinamik 10 Bgd (Para).
Demonstrasi dimulakan dengan aksi Penerjunan Bebas dan diteruskan dengan pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS), Renang Tempur, Tactical Combat And Casualty Care (TCCC), Demonstrasi Menara, Sniper Insertion, Tembakan Artileri Medan serta Serangan Seksyen sebelum diakhiri dengan Penerjunan Bebas menggunakan Military Tactical Glider dari ketinggian lima ribu kaki yang digugurkan dari Pesawat EC 725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Acara kemudiannya diteruskan dengan penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Bgd (Para) dan diakhiri dengan sesi menandatangani buku lawatan.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan, Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid dan pegawai kanan TD.