NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan melahirkan rasa bangga mempunyai seorang anggota seperti Sjn Mazlan Abdul Rahman yang menzahirkan nilai etos kepahlawanan dengan menunjukkan sifat keberanian dan pengorbanannya.
“Saya yakin lebih ramai lagi anggota seperti Sjn Mazlan yang akan muncul dari kalangan saudara-saudara sekalian selepas ini hasil daripada adunan Ikrar Kesatria dan etos kepahlawanan yang diterapkan selama ini,” ujar PTD.
Terdahulu, beliau telah menyempurnakan Upacara Pemakaian Pangkat Sjn kepada Kpl Mazlan Abdul Rahman serta penganugerahan Pisau Tentera Darat semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (TLPM) Lelaki Siri 198/23 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 27 Jan 2024.
Penganugerahan ini merupakan sebagai tanda pengiktirafan dan penghormatan tertinggi atas keberanian yang ditunjukkan oleh beliau setelah menyelamatkan nyawa dua orang awam yang hampir lemas di laut berhampiran Jambatan Pertama Pulau Pinang pada 15 Jan 2024 yang lalu.
Keberanian beliau yang bertindak pantas membantu menyelamatkan orang awam tanpa menghiraukan impak negatif yang bakal dihadapinya kelak wajar dijadikan contoh kepada seluruh warga TD selain membuktikan warga TD sentiasa bersedia untuk melindungi rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.
Gambar: LtM Riffat Mohd Yusof, LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi