JOHOR: Hari Tentera Darat (HTD) merupakan acara tradisi tahunan yang dianjurkan dengan matlamat mengukuhkan kesatuan warga Tentera Darat (TD) serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat selain bertujuan mengenang kembali segala pengorbanan warga TD terdahulu yang telah berjuang demi mengekalkan kedaulatan tanah air.
Sambutan pada kali ini bertemakan ‘Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga’ yang membawa maksud bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara tidak hanya digalas oleh TD semata-mata, sebaliknya perlu digalas bersama rakyat.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga TD yang mempamerkan kecemerlangan pada perbarisan hari ini dengan tujuan membentuk jati diri dan menyuburkan etos kepahlawanan di kalangan warganya.
“Melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi, TD sentiasa bertekad untuk meningkatkan keupayaan dan kesiagaannya agar berada di tahap tertinggi sepanjang masa,” ujar PTD ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan HTD Ke-91 di Dataran Segamat pada 1 Mac 2024.
Menurutnya lagi, pemilihan daerah Segamat sebagai lokasi sambutan HTD pada kali ini disebabkan ianya signifikan dalam menghargai kedaulatan dan keamanan negara pada masa kini kerana memiliki sejarah penting semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu di mana tertubuhnya barisan pertahanan pertama tentera berikat di negeri Johor untuk menghalang kemaraan tentera Jepun.
“Salah satu peristiwa penting adalah tindakan tentera berikat meletupkan jambatan Buloh Kasap untuk melengahkan kemaraan tentera Jepun ke Singapura selain daerah ini juga menjadi saksi peranan aktif masyarakat setempat dalam menentang Parti Komunis Malaya (PKM) semasa era darurat,” jelas PTD.
Perbarisan HTD Ke-91 yang berkonsepkan perbarisan tempur diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Lt Kol Mohd Shahrul Hamidon melibatkan seramai 38 pegawai dan 1,244 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada enam kontinjen iaitu kontinjen tempur, bantuan tempur, bantuan perkhidmatan, Briged Ke-10 Para (10 Bgd (Para)), Gerup Gerak Khas (GGK) dan kontinjen wanita.
Selain itu, turut diadakan terbang Lintas Hormat lima buah pesawat yang terdiri daripada tiga buah pesawat A109 LOH dan dua buah pesawat MD 530G serta dimeriahkan dengan segmen perarakan melibatkan aset-aset TD di penghujung acara.
Dalam perbarisan ini, Kpl Ronald Manchik dari 7 RAMD telah dianugerahkan Sijil Keberanian dan Pisau TD atas tindakannya berjaya menyelamatkan seorang daripada dua mangsa yang lemas di laut pada 13 Okt 2023 di Kem Terendak sekali gus meningkatkan imej dan kredibiliti TD.
PTD turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN).
Usai perbarisan, PTD dan warga TD bergerak ke Masjid Jamek Segamat bagi membaca Yasin dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Hj Mohd Rashidi Bujai sebelum melaksanakan Solat Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi