KUALA LUMPUR: Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar secara rasminya menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-23 selepas berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas PAT yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Auditorium Wisma Pertahanan pada 31 Jan 2025.
Dalam upacara bersejarah ini, PAT Ke-22, Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman secara rasmi telah menyerahkan tugas dan tanggungjawabnya kepada Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar selaku PAT yang baharu dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas serta penyerahan Tongkat Kuasa.
Majlis kemudian disempurnakan dengan upacara Street Lining oleh seluruh warga angkatan tentera yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) menandakan penghormatan dan penghargaan atas jasa serta kepimpinan Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan acara pemakaian pangkat ke atas Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA), Lt Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar yang dinaikkan ke pangkat Jen bagi menjawat jawatan sebagai PAT Ke-23 berkuatkuasa pada 31 Jan 2025.
Pelantikan ini menyaksikan perubahan bersejarah apabila beliau memecah tradisi dan menjadi PAT pertama yang bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut dan Panglima Tentera Udara sedia ada sekali gus membuktikan kepimpinan beliau yang cemerlang serta pengiktirafan terhadap kebolehan dan kredibilitinya dalam memimpin ATM.
Turut hadir, mantan PAT, Tun Doktor Mohamed Hashim Mohamad Ali, Timbalan Menteri Pertahanan, Tuan Adly Zahari, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima-panglima Perkhidmatan dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir