Bersama PemimpinLatihanTrup TD

PTD Rasmi Tembakan Inaugurasi Meriam Baharu 1 RAD (Para)

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan acara Tembakan Inaugurasi Meriam 105MM LG1 MK III dan seterusnya Pengisytiharan Status Pengoperasian Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) (1 RAD (Para)) di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 14 Okt 2021.

Latihan tembakan dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Memerintah 1 RAD (Para) kepada PTD dan seterusnya Pegawai Pos Perintah Bateri Alpha menyampaikan taklimat ringkas berkenaan peranan dan tanggungjawab anggota di pos perintah apabila menerima perintah tembakan dari Pegawai Pemerhati Hadapan (FOO).

Kemudiannya PTD dan pegawai kanan ahli Sidang Tertinggi Panglima Tentera Darat (STPTD) diberikan kesempatan bersama-sama anggota 1 RAD (Para) melaksanakan latihan tembakan Meriam 105 MM LG1 MK III.

Sejarah awal penubuhan 1 RAD (Para) bermula apabila Bateri (Bti) Pertama Meriam Persekutuan ditubuhkan pada 15 Ogos 1957 di Kem Kajang, Selangor dan dilengkapkan dengan lapan laras Meriam 25 Pounder.

Tugas utama Bti ini selepas penubuhannya adalah melatih anggota untuk melaksanakan tembakan kehormatan sempena pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Pasukan ini juga terlibat di dalam tugas operasi melawan insurgensi di kawasan Sekichan, Batang Berjuntai, Kuala Kubu Bharu, Bentong, Rasah, Kerayong, Rawang, Kuala Nerang, Padang Serai dan kawasan di sempadan Malaysia/Thailand, sekaligus melakar sejarah di mana ianya merupakan kali pertama Unit Persekutuan dibantu oleh Pasukan Artileri Tanah Persekutuan dalam operasi seumpamanya.

Dalam usaha Kerajaan Persekutuan untuk menambah Pasukan Rejimen Meriam, penstrukturan Bti Pertama Meriam Persekutuan telah dilaksanakan sehingga tertubuhnya Rejimen Pertama Persekutuan pada 1 Jan 1962.

Pasukan ini telah diperlengkapkan dengan 21 laras meriam jenis 105 MM Pack Howitzer bagi menggantikan Meriam 25 Pounder.

Pada 9 Apr 1965, designasi Rejimen Pertama Meriam Persekutuan telah diubah kepada Rejimen Meriam Malaysia selari dengan penubuhan Malaysia dan pada 13 Apr 1981, designasi telah diubah lagi kepada Rejimen Pertama Artileri yang akhirnya diubah kepada Rejimen Pertama Artileri Diraja pada 6 Jun 1992 bersempena dengan penganugerahan gelaran diraja kepada RAD.

Lanjutan dari penubuhan 10 Bgd (Para) pada 10 Okt 1994, pasukan ini diletakkan di bawah perintah 10 Bgd (Para) sehinggalah ke hari ini.

Semenjak 1 RAD ditubuhkan sehingga sekarang, pasukan telah dilengkapi dengan tiga varian sistem persenjataan iaitu Meriam 25 Pounder, Meriam 105 MM Pack Howitzer dan yang terkini adalah Meriam 105 MM LG1 MK III yang dibekalkan pada 14 Okt 2020.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon, Riffat Mohd Yusof dan Mohammad Nazif Mohd Zuki.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button