Bersama PemimpinSemasa

Tahun Baharu Cina TD: Satu Hati, Satu Angkatan dan Satu Keluarga

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri, Puan Sri Datin Wira Hartiah Hamzah menyaksikan Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Tentera Darat (TD) di Dewan Dato’ Jamil, Kem Perdana Sungai Besi pada 7 Feb 2025.

PTD menyatakan bahawa sambutan ini bukan sekadar sebuah perayaan untuk masyarakat berbangsa Cina, tetapi melambangkan semangat ‘satu hati, satu angkatan, satu keluarga’ yang menjadi teras kepada kekuatan TD.

“Kehadiran semua lapisan warga tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama adalah bukti bahawa nilai-nilai perpaduan dan kebersamaan sentiasa dijunjung tinggi dalam institusi ketenteraan,” ujarnya.

Bersempena Tahun Ular dalam kalendar masyarakat Cina, beliau menyeru kepada semua untuk mengambil inspirasi daripada sifat-sifat ular yang melambangkan ketajaman fikiran, ketangkasan, kebijaksanaan dan keupayaan bertahan dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Sifat-sifat ini amat relevan dengan peranan anggota Tentera Darat yang sentiasa perlu bersedia, cekap dan bijak membuat keputusan dalam apa jua situasi,” jelas beliau.

Mengakhiri ucapannya, PTD menegaskan bahawa sambutan Tahun Baru Cina ini bukan bertujuan untuk bermegah-megah atau membazir sumber, tetapi sebagai wadah untuk memupuk rasa hormat, kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi aset berharga kepada organisasi tentera.

Terdahulu, acara dimulakan dengan letupan mercun sebagai simbolik meraikan perayaan Tahun Baharu Cina sebelum dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan seperti pertunjukan tarian singa, pukulan gendang, tarian masyarakat Cina, nyanyian lagu serta upacara menggaul Yee Sang di meja makan masing-masing.

Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian angpau kepada anak-anak dan anggota bujang yang hadir sebelum diakhiri dengan kemeriahan pertunjukan bunga api.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

Gambar: Pbt Syfiqrullah Mazlan & Pbt Nanatasha Ngadan

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online