NEGERI SEMBILAN: Seramai 38 pegawai dan 769 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara terlibat dalam Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-23 (PAT Ke-23), Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (19 RAMD (Mek)) bertempat di Padang Kawad Kem Segenting pada 30 Apr 2025.
Terdahulu, sejurus ketibaan PAT beliau telah diberi penghormatan untuk memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari 19 RAMD (Mek) sebelum perarakan masuk aset-aset ATM antaranya Sistem Roket Lancar Berganda ASTROS II, 8X8 Gempita 25MM, Pendekar PT91 M, ADNAN 25MM, Starstreak Rapid Panger, Kenderaan Pembawa Senjata AGL 40mm, Kenderaan Misil Starstreak Light Weight Multiple Launcher (TUDM), KD Lekir, KD Maha wangsa dan KD Laksmana Muhammad Amin.
Perbarisan turut menyaksikan lintas terbang empat buah pesawat ATM yang terdiri daripada dua buah Pesawat EC-725AP TUDM, sebuah Pesawat Helikopter Agusta A109 LOH TDM yang membawa bendera ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai oleh Mej Mohd Fazruzaman Min Faril TUDM.
Seusai perbarisan kesemua pegawai dan anggota yang terlibat secara langsung beredar ke Auditorium Sebatang Kara bagi mendengar Perutusan Perintah Ulung PAT yang menjadi panduan kepada warga ATM sepanjang beliau menjadi tampuk pimpinan tertinggi ATM.
“Hari ini genap 90 hari saya mengambil alih tampuk pemerintahan ATM, perintah ulung ini digarap berlandaskan falsafah pemerintahan saya yang terbina daripada pengalaman peribadi selama empat dekad dalam perkhidmatan serta berpandukan prinsip-prinsip yang mendasari perintah ulung terdahulu”.
“Adalah menjadi harapan saya agar perintah ulung ini tidak hanya menjadi hiasan di dinding pasukan tetapi diterjemahkan secara nyata dalam bentuk pelan tindakan yang difahami dan dilaksanakan sepenuhnya disetiap peringkat pemerintahan”. Tegas PAT.
Dalam perintah ulungnya, PAT menekankan tiga nilai asas pemerintahannya iaitu Tanggungjawab Yang Harus Dipikul Sepenuh Jiwa (Duty), Maruah Yang Tidak Boleh Dijual Beli (Honour) serta Pengorbanan Tanpa Balasan Demi Kesetiaan Yang Mutlak (Sacrifice).
berlandaskan falsafah kepimpinaan Duty-Honour-Sacrifice juga beliau menggariskan empat teras falsafah yang merangkumi Kesiagaan Operasi (teras pertama), Pelaburan dan Pembangunan Modal Insan Yang Holistik (teras kedua), Kelestarian dan Kesejahteraan Kehidupan Warga ATM (teras ketiga) dan Memperkukuh Diplomasi Pertahanan dan Hubungan Ketenteraan (teras keempat).
Selesai menyampaikan perintah ulungnya, PAT turut berkesempatan mengingatkan kepada semua lapisan warga ATM agar merapatkan saf, menutup segala jurang dan teruslah berganding tenaga sebagai satu angkatan yang utuh dan ampuh.
Selain itu, beliau turut berpesan agar warga ATM perlu sentiasa penuh keazaman, komitmen dan setia kepada perkhidmatan serta tanah air demi memastikan ATM berkembang setara dengan peredaran zaman disamping mampu mengekalkan sebuah angkatan yang diyakini oleh rakyat dan disegani dunia.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr) Zulhelmy Ithnain dan Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir, Pbt Syfirullah Mazlan dan Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan