KUALA LUMPUR: Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Ke-59 yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Koperasi Tentera terus mencatat pencapaian membanggakan apabila mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 7.1% bagi tahun kewangan 2024 dengan jumlah agihan RM125.3 juta kepada 155,678 ahlinya yang berlangsung di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia pada 19 Jun 2025.
Sebagai antara institusi koperasi yang aktif dan progresif, Koperasi Tentera terus memperkukuh peranannya dalam menyokong vendor serta kontraktor kecil dan sederhana (PKS) menerusi Skim Pembiayaan Kontrak.
Sehingga Mei 2025, jumlah keseluruhan pembiayaan yang diluluskan telah mencecah RM 471 juta dengan RM 215 juta disalurkan kepada penyedia perkhidmatan di bawah Kementerian Pertahanan, manakala baki RM 256 juta melibatkan kementerian lain.
Seiring dengan perkembangan teknologi, Koperasi Tentera kini dalam fasa memperkenalkan permohonan pembiayaan secara dalam talian sepenuhnya atau Digital Financing sekaligus memudahkan urusan anggota dengan proses yang lebih cepat, cekap dan mesra pengguna.
Antara pencapaian terbaru yang turut dibanggakan adalah kejayaan produk Pembiayaan Peribadi Bai’ Inah Elham yang merekodkan pembiayaan sebanyak RM 11.66 juta hanya dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya pada Mac 2025.
Produk ini ditawarkan dengan kadar keuntungan serendah 4.3%, tempoh bayaran balik sehingga 120 bulan serta tanpa memerlukan penjamin, menjadikannya pilihan utama dalam kalangan anggota yang mencari penyelesaian kewangan yang cepat dan mudah.
Kkemuncak mesyuarat turut menyaksikan pelancaran rasmi produk pembiayaan baharu yang dinamakan Raees iaitu sebuah platform pembiayaan patuh syariah yang diperkenalkan secara berperingkat kepada kakitangan kerajaan sebelum dibuka kepada orang awam.
Inisiatif ini dijangka memberi lebih banyak pilihan pembiayaan kepada masyarakat dengan syarat dan faedah yang lebih mesra pengguna.
Sebagai penghargaan kepada warga koperasi, MENHAN turut menyampaikan hadiah dan sijil kepada anak-anak anggota yang cemerlang melalui Skim Insentif Kecemerlangan Akademik, anggota paling lama berkhidmat serta penerima Skim Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pengerusi Koperasi Tentera, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Markas Tentera Laut mewakili Panglima Tentera Laut, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin.
Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan