KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Sultan Ibrahim bertitah menegur penggunaan media sosial dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menzahirkan kebimbangan terhadap perkongsian maklumat berkaitan organisasi itu dan menitahkan agar amalan tersebut dihentikan serta-merta.
Dalam titah baginda, Seri Paduka menekankan bahawa konflik semasa antara Iran dan Israel membuktikan bagaimana maklumat daripada aplikasi pintar, media sosial dan syarikat teknologi awam boleh dimanfaatkan pihak musuh untuk melancarkan serangan.
“Janganlah memuat naik semua perkara termasuk maklumat organisasi, penempatan pasukan, lokasi gerakan dan sebarang maklumat sensitif mengenai ATM.
“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Gunakan akal fikiran dan elakkan daripada mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya untuk tontonan umum. Lebih baik kita beringat sebelum menyesal di kemudian hari,” titah baginda.
Titah tersebut disampaikan sempena Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 28 Jun 2025.
Terdahulu, SPB YDP Agong disambut oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar.
Baginda turut menerima tabik hormat serta memeriksa kontinjen perbarisan melibatkan lapan detasmen dengan kekuatan seramai 509 Pegawai Kadet ATM, diiringi gabungan Pancaragam Pusat TLDM dan TUDM.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat dan Piala Khas kepada tujuh Pegawai Kadet Terbaik daripada Akademi Latihan Ketenteraan (ALK-UPNM), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI 1) dan Kolej Tentera Udara (KTU).
Perbarisan diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali sebelum YDP Agong berangkat meninggalkan istiadat, diikuti dengan penyempurnaan pengurniaan watikah tauliah di Dewan Tun Templer.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhammad Norazlan Aris TUDM.
Gambar: LKpl Syfiqrullah Mazlan