SELANGOR: Ketua Staf Tentera Darat (KS TD) merangkap Pengerusi Rejimen Artileri Diraja (RAD), Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan-mantan Pengerusi RAD yang terdahulu atas sumbangan besar dalam memacu pembangunan organisasi, pentadbiran, infrastruktur dan persenjataan sehingga meletakkan RAD pada tahap membanggakan sepanjang 68 tahun penubuhannya.
“Tahun ini kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji sebanyak 15 peratus melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta peluasan Pemberian Insentif Berasaskan Preatasi (BIPs) bagi anggota berpangkat Sjn dan SSjn.
“Nikmat ini bukan sekadar penghargaan, tetapi juga satu amanah untuk kita terus berdisiplin, meningkatkan profesionalisme serta melipatgandakan usaha dalam setiap bidang tugas.
“Dalam masa yang sama, kita sedang melangkah ke arah pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang menuntut tahap kesiapsiagaan lebih tinggi, penggunaan teknologi moden serta penstrukturan organisasi yang lebih mantap.
“RAD akan terus memainkan peranan penting dengan pengoperasian sistem persenjataan baharu yang bakal meningkatkan lagi keupayaan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta,” ujar beliau ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) RAD Ke-68 bertempat di Padang Kawad Rejimen Ke-31 Artileri Diraja (31 RAD) pada 5 Sep 2025.
Terdahulu, Pengerusi RAD menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada lima detasmen melibatkan seramai 18 pegawai dan 301 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen Ke-33 Artileri Diraja (33 RAD), Lt Kol Mohd Ridwan Razali dengan diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat ini turut diserikan dengan lintas hormat persenjataan yang menampilkan sebahagian daripada aset RAD yang masih dalam perkhidmatan.
Acara kemudian diteruskan dengan Pemakaian Pangkat yang disempurnakan oleh Pengerusi RAD ke atas 10 anggota LLP yang mempamerkan kecemerlangan dalam tugas serta komitmen tinggi terhadap organisasi.
Seusai perbarisan majlis diteruskan dengan acara pemotongan kek sempena HUT dan jamuan makan bersama warga RAD di Dewan Sri Kajang.
Turut hadir, Pengarah Artileri, Brig Jen Dato’ Norazman Ismail, Panglima Briged Artileri Roket, Brig Jen Mohd Tawil Hj Daud, Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara, Brig Jen Dato’ Azhar Mustapha dan Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen, Brig Jen Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian.
Gambar: Rjr Raja Khairul Husaini & Pbt Amir Hamzah