KUALA LUMPUR: Seramai 50 Pegawai Waran II dinaikkan pangkat ke Pegawai Waran I dan tiga Sjn dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dianugerahkan Sayap Penerbangan Kuartermaster Udara Tentera Darat dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan di Dewan Tanjung, Wisma Transit Kuala Lumpur pada 7 Okt 2025.
PTD Ketika berucap mengingatkan bahawa pemakaian pangkat ini bukanlah keistimewaan untuk duduk selesa, tetapi amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab untuk membimbing generasi muda, memelihara tradisi, budaya dan identiti Tentera Darat.
“Angkatan Tentera Malaysia telah mengangkat martabat Pegawai Waran ke tahap yang tinggi, menurut Sek 98 Akta Angkatan Tentera 1972, jika kesalahan berlaku Pegawai Waran tidak lagi boleh dibicarakan oleh Pegawai Memerintah, ia hanya boleh dibicarakan oleh pihak berkuasa atasan yang berkenaan iaitu Panglima atau Mahkamah Tentera.
“Anda kini berada di puncak kerjaya anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), Pegawai Waran adalah Role Model kepada anggota bawahan dan haruslah menjadi contoh teladan yang baik dalam sikap, perwatakan dan prestasi.
“Justeru, anda semua hendaklah menjadi jambatan antara pemimpin pegawai dan warga LLP, peranan anda mungkin berbeza mengikut masa dan tempat, tetapi tetap diperlukan untuk kesinambungan organisasi”, tegas PTD.
Dalam majlis yang sama PTD turut menganugerahkan Sayap Penerbangan Kuartermaster Udara Tentera Darat kepada tiga Sjn dari PUTD yang telah menamatkan Kursus Peralihan Pesawat Agusta 109 LOH Kuartermaster Udara Tentera Darat Siri 19/2024 di Rejimen 881 PUTD antaranya ialah Sjn Mohamad Firdaus Nordin, Sjn Mohd Ashraff Ros Azizi dan Sjn Mohammad Hanif Mohd Shabirin.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Norsham Md Tap.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri