JOHOR: Duli Yang Amat Mulia (DYAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Mej Jen Tunku Ismail Sultan Ibrahim mewakili Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Kol Komandan Gerak Khas dengan diiringi oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah mencemar duli menyaksikan Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke-58 di Padang Kawad Markas 21 GGK pada 12 Ogos 2023.
“Bermula dari kekuatan anggota, bersama-sama dengan kelengkapan dan peralatan ketenteraan amat penting bagi RGK untuk memastikan tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
“Rejimen ini turut memfokuskan kepada Pembangunan Latihan dengan melaksanakan projek pembinaan baharu seperti kolam selam tempur, air craft compass wing dan projek naik taraf rumah tempur jarak dekat bagi melahirkan anggota yang cekap dan terlatih,“ titah DYAM TMJ.
DYAM TMJ berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Perbarisan HUT RGK-Ke 58 yang berkonsepkan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat melibatkan lima detasmen berkekuatan seramai 18 pegawai dan 174 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Sejurus tamat perbarisan, baginda turut berkesempatan menyempurnakan Anugerah Jaguh Sukan RGK Tahun 2022 yang dirangkul oleh Tpr Muhammad Ridzuan Mohd Johari dari Rejimen 11 Gerak Khas (11 RGK) di Hangar Skuadron Perahu Ringan.
Sebagai tanda penghargaan, DYAM Tunku Mahkota Johor turut menerima cendera kenangan daripada Panglima 21 GGK.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad.