PAHANG: Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail menyatakan bahawa angkatan sukarela Askar Wataniah (AW) telah terukir dalam lipatan sejarah sebagai angkatan yang mampu menyumbang terhadap pertahanan dan keselamatan negara.
“Sumbangan ini hendaklah disingkap melalui fakta-fakta sejarah semasa tercetusnya peperangan dunia kedua, era darurat, era konfrontasi malah semasa insurgensi.
“Penglibatan anggota sukarela melalui unit-unit yang dikerah sepenuh masa telah banyak membantu pertahanan dan keselamatan negara selari dengan cogan kata AW iaitu Berkhidmat Untuk Negara,” katanya.
AP PS berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen AW Ke-65 di Padang Kawad Rejimen 505 Askar Wataniah (Rej 505 AW) pada 18 Jun 2023.
Tambahnya lagi, beberapa pelan tindakan dalam pelan strategik hala tuju AW telah dilaksanakan seperti penyediaan kertas cadangan penstrukturan pasukan melibatkan kertas cadangan penstrukturan Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) dan Rej siri 500 AW berjaya diperakui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kertas Cadangan Perjawatan Tentera Darat (TD) pada 8 Jun 2023.
Beberapa pembangunan lain seperti penerbitan PROTAP Latihan AW dan portal AW turut dilaksanakan bagi membuat hebahan maklumat dan membantu kelancaran pentadbiran, menyusun, menyimpan serta mengemaskini data-data dengan lebih efisien.
Rejimen AW merupakan antara pasukan dalam Angkatan Sukarelawan Persekutuan (ASP) yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) untuk membantu TD ketika darurat atau dalam medan peperangan.
Angkatan ini juga berperanan membantu TD dalam Military Operation Other Than War (MOOTW) dan pihak berkuasa awam seperti pelaksanaan Op PENAWAR, Projek Jiwa Murni (PJM), Op MURNI dan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).
Terdahulu, beliau menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan melibatkan enam detasmen berkekuatan seramai 35 pegawai dan 275 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Zamri Wahab dengan diiringi pancaragam gabungan Rej 502 dan 512 AW.
Acara kemudian diteruskan dengan Perbarisan Berjalan Lalu sebelum diteruskan dengan acara pemakaian pangkat, penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta penyampaian sijil penghargaan.
Anugerah Rejimen Terbaik AW dinobatkan kepada Rej 501 AW manakala tempat kedua jatuh kepada Rej 503 AW dan tempat ketiga diberikan kepada Rej 513 AW.
Sambutan HUT AW diserikan lagi dengan acara memotong pulut kuning dan jamuan makan sebelum AP PS beredar meninggalkan majlis.
Turut hadir, Ketua Pengarah BPS, Brig Jen Shamshor Jaafar, Pengarah Rancang dan Pembangunan BPS, Kol Sukiman Mohamed, Komander Rejimen Pakar Rejimen Askar Jurutera Diraja AW, Kol Norazali Neemat dan PW I (B) Ielias Ibrahim (PGB).
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul