Semasa

RAMD, KAD dan TUDM Terima Panji-Panji Baharu

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Sultan Ibrahim mencemar duli berangkat ke Kem Perdana Sungai Besi bagi menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji SPB YDP Agong melibatkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Dataran PTD pada 23 Okt 2025.

Perbarisan penuh istiadat ini melibatkan seramai 34 pegawai dan 430 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD), Kol Mohd Fuad Md Ghazali dengan diiringi Pancaragam Pusat (PP) RAMD, PP KAD dan PP TUDM di bawah pimpinan Kol Zaiful Azman Zainul Abidin.

Istiadat dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan oleh SPB YDP Agong diiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar lalu diteruskan dengan menepung tawar serta pentauliahan rasmi Panji-Panji baharu sebelum diakhiri dengan lafaz ikrar taat setia dan persembahan Watikah Ikrar kepada SPB YDP Agong.

Panji-Panji yang baharu kemudiannya dibawa berarak sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mengenali Panji-Panji keagungan rejimen masing-masing.

Penganugerahan Panji-Panji kepada RAMD yang berpegang pada cogan kata ‘Taat Setia’ telah dianugerahkan Panji-Panji SPB YDP Agong pada 23 Mac 1963 dengan sepuluh Battle Honour tercatat padanya kini melalui istiadat pertukaran buat kali ketiga.

Bagi KAD dengan cogan kata ‘Bersatu’, Panji-Panji SPB YDP Agong turut dianugerahkan pada 23 Mac 1963 dengan lima Battle Honour menjadikan istiadat kali ini pertukaran kali kedua.

Sementara itu, TUDM dengan cogan kata ‘Sentiasa Di Angkasa Raya’ menerima Panji-Panji SPB YDP Agong pada 14 Mac 1967 dengan tiga Battle Honour dan istiadat kali ini merupakan pertukaran kali kedua.

Berkibarnya Panji-Panji ini menjadi lambang keberanian dan perjuangan abadi setiap perwira serta perajurit yang biarpun jasad rebah ke bumi, semangat juang tetap tidak akan menyerah demi mempertahankan Panji-Panji berdaulat hingga ke titisan darah terakhir sebagai sumpah taat setia perwira bangsa.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM.

Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Muhammad Syfiqrullah Mazlan, Pbt Nanatasha Ngadan & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online