KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Brig Jen Shamsulakmar Hj Ismail menegaskan bahawa pembangunan KPTD mesti bergerak seiring dengan pembangunan Tentera Darat (TD) berpandukan Strategi Angkatan Masa Hadapan (AMH) serta berpaksikan lima fungsi teras kor iaitu Penguatkuasaan Undang-Undang, Manuver dan Mobiliti, Keselamatan, Tugas Istiadat serta Pengasingan dan Penahanan.
Menurut beliau, setelah lebih tujuh dekad menelusuri perjalanan penuh cabaran dan kejayaan, KPTD terus mengukir nama dalam meningkatkan imej pasukan di persada antarabangsa melalui penglibatan aktif dari beberapa anggota serta Tim Akrobatik Army Red Warrior yang melakarkan kecemerlangan.
Tambahnya lagi, kesiagaan warga KPTD bukan sahaja tertumpu kepada tugas masa aman, malah turut memberi tumpuan terhadap kesiapsiagaan semasa perang atau konflik.
“Tahun ini, KPTD turut berpeluang menyertai Eksesais KERIS STRIKE bersama Tentera Darat (TD), Tentera Darat Australia (TDA) dan United States Army Pacific Command (USARPAC).
“Setakat ini, kita telah berjaya membangunkan Army Training and Evaluation Program (ARTEP) Kompeni KPTD, 21 Rancangan Pengurusan Latihan (RPL) serta 27 Manual Doktrin KPTD, termasuk manual tugas Polis Tentera dalam mengendalikan tawanan perang,” jelas beliau ketika berucap sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KPTD Ke-72 di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) pada 12 Nov 2025.
Terdahulu, Pengerusi KPTD telah menerima tabik hormat daripada Ketua Perbarisan, Lt Kol Shamsul Affendi Hj Yahaya dari 21 Skuadron KPTD sebelum memeriksa perbarisan berkekuatan seramai 15 pegawai dan 175 anggota LLP yang kemudiannya meneruskan acara dengan perbarisan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat.
Dalam majlis sama, Pengerusi KPTD turut menyempurnakan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pemakaian Pangkat kepada dua pegawai dan sembilan anggota LLP.
Selain itu, turut diadakan penyampaian Anugerah Pegawai Terbaik, PTTK Terbaik, PPT Rendah Terbaik, Olahragawan dan Olahragawati Terbaik serta Stor dan Kelab Pasukan Terbaik.
Acara diteruskan dengan persembahan demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) dan pertunjukan memukau daripada Tim Akrobatik Army Red Warrior yang berjaya menarik perhatian para penonton.
Turut hadir, Provos Marsyal TD, Brig Jen Nozri Senawi, Ketua Cawangan Siasatan Jenayah, Kol Mohd Rizaudin Mahmud, serta Pengarah Siasatan Jenayah, Kol Gopalan Balam.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Mohammad Tuan Farizal Tuan Dir & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri


