MELAKA: Tentera Darat (TD) muncul johan keseluruhan antara perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala Markas 21 Gerup Gerak Khas (GGK) johan kategori terbuka sempena Kejohanan Tinju Antara Perkhidmatan dan Terbuka ATM Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Dato’ Ahmad Shuhaimi Mat Wajab dalam majlis penutup bertempat di Dewan Ramli, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) pada 6 Dis 2025.
Anugerah peninju terbaik kejohanan antara perkhidmatan ATM 2025 dinobatkan kepada Mohamad Syahami Mohd Sanusi TDM (B) dan peninju terbaik kategori terbuka kepada Mohd Yusri Mohd Nor dari 21 GGK.
Peninju harapan antara perkhidmatan ATM 2025 pula dianugerahkan kepada Muhammad Zulhusni Mohammad Zawawi dari TDM (B) dan peninju harapan kategori terbuka kepada Muhammad Hafizufdin Pa’dek dari 21 GGK.
Dalam ucapan Panglima 21 GGK, beliau menekankan bahawa sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan warga ATM serta mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk satu angkatan yang harmoni dan bersatu padu.
“Saya turut berharap agar semua atlet ATM, menerapkan nilai integriti yang tinggi, serta sentiasa mengamalkan ‘fairplay’ dalam setiap pertandingan yang disertai agar kita beroleh kemenangan dan kejayaan secara adil dan terhormat,” tegasnya.
Sebanyak 47 Bouts dipertandingkan bagi kejohanan tinju antara perkhidmatan, 48 Bouts bagi tinju terbuka ATM manakala 12 kategori di sepanjang kejohanan ini dan empat perlawanan akhir.
Kejohanan seperti ini merupakan salah satu aktiviti sukan yang berperanan penting dalam pembangunan fizikal, mental dan disiplin warga ATM.
Selain itu ianya dapat mencungkil bakat serta melahirkan atlet di dalam memajukan sukan tinju di peringkat ATM dan negara.
Turut hadir, Ketua Staf MK 21 GGK, Brig Jen Mohd Musyadi Abdul Mutalib dan Ketua Staf MK 10 Bgd (Para), Kol Syed Suhairi Syed Hussin.
Gambar: Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein




