MELAKA: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan Lawatan Kerja ke Kem Terendak bagi menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, utiliti dan penjanaan ekonomi keluarga tentera.
Ketibaan beliau di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman sebelum menghadiri taklimat pengoperasian yang memberi gambaran menyeluruh mengenai pengisian sepanjang lawatan tersebut.
Antara fokus utama lawatan ialah pemerkasaan pendidikan digital apabila MENHAN menyampaikan 3,270 unit komputer riba sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada 38 Sekolah Dalam Kem (SDK) ATM.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan peruntukan senggaraan SDK ATM berjumlah RM25 juta bagi tahun 2026 serta bantuan pendidikan kepada anak warga ATM termasuk pelajar OKU dan pesakit kronik.
“Pendidikan anak-anak warga ATM akan terus diberi keutamaan sebagai pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan warga pertahanan negara,” tegas MENHAN ketika berucap di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak pada 26 Jan 2026.
Dalam aspek kesihatan pula, beliau diberi taklimat mengenai Projek Pembangunan Hospital ATM baharu bernilai RM320 juta yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Hospital berkapasiti 150 katil itu dijangka siap pada tahun 2029 dan bakal menyediakan perkhidmatan perubatan am, kepakaran serta pergigian kepada warga ATM, veteran dan komuniti setempat.
MENHAN seterusnya meninjau tapak projek dan menyempurnakan upacara pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan.
Lawatan tersebut turut merangkumi projek naik taraf sistem retikulasi air Kem Terendak yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan bekalan air yang lebih stabil, selamat dan mampan kepada seluruh warga kem.
Lawatan diakhiri dengan tinjauan kebajikan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Jalan Kenanga, di mana beliau diberi taklimat berkaitan kerja senggaraan perumahan sebelum menyempurnakan simbolik penyerahan peruntukan senggaraan RKAT Negeri Melaka bagi tahun 2026 serta meninjau sendiri keadaan kediaman anggota.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.
Gambar: Pbt Muhammad Adam Adham Che Abdullah & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran



