KELANTAN: Seramai 15 pegawai dan 270 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Ab Aziz Hj Abdullah bertempat di Padang Kawad 16 RAMD pada 22 Apr 2016.
Perbarisan ini bertujuan menghargai jasa yang dicurahkan oleh Mej Jen Dato’ Ab Aziz Hj Abdullah yang telah berkhidmat di dalam ATM selama 40 tahun selain memberi tabik hormat terakhir kepada beliau yang pernah menjadi Pegawai Memerintah di 16 RAMD suatu ketika dahulu.
Dalam ucapannya beliau berasa amat terharu dan menghargai perbarisan ini sebagai penghormatan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkannya serta meluahkan rasa teruja dengan kehadiran Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor selain diberikan peluang untuk mengambil tabik hormat bagi kali terakhir dalam perkhidmatannya.
“Profesion ketenteraan sangat mulia lagi mencabar yang memerlukan pengorbanan serta kegigihan dan kekuatan daripada keluarga untuk terus mengharungi profesion sebagai seorang anggota tentera,” katanya.
Turut hadir Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia (CSM), Mej Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohamad Zuki, Asisten Ketua Staf Cawangan Operasi dan Latihan (OPLAT), Mej Jen Dato’ Ramli Jaafar dan Panglima Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), Mej Jen Dato’ Fadzil Mokhtar.
Gambar: SSjn Mohd Shahril Ali