NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohd Noor menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 180/16 serta PM Wanita Siri 42/16 yang berkekuatan seramai 1581 anggota terdiri daripada 1540 lelaki berserta 41 wanita bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 10 Sep 2016.
Pelaksanaan perbarisan ini menandakan bahawa PM kini telah terlatih dan diperlengkapkan dengan pengetahuan serta kemahiran asas ketenteraan bagi melahirkan PM yang lengkap dengan keyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin dan patuh pada arahan sebelum diserapkan dalam pelbagai Kor Tentera Darat selepas dilatih selama enam bulan.
Anugerah PM Keseluruhan Terbaik dianugerahkan kepada PM Mohd Ilham Salleh diikuti Perajurit Muda Akademik Terbaik diberikan kepada PM Norfarhana Ain Zainal Arif manakala Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik jatuh kepada PM Munggang Entan dan Perajurit Muda Kawad Terbaik menjadi milik PM Mohd Zahier Zainol Abidin serta Perajurit Muda Penembak Terbaik dianugerahkan kepada PM Muhammad Syahmi Mohd Bakri.
Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh PM yang tamat latihan pada hari ini kerana menyambung pengabdian warisan unggul terdahulu disertai dengan kecekalan hati, berkat kesabaran untuk dilatih menjadi PM yang mantap dan berdiri teguh di atas tapak yang amat digeruni ini.
“Pada hari ini secara rasminya anda semua adalah sebahagian daripada kami yang menyambung nadi kecemerlangan yang mana menuntut anda semua memberikan khidmat yang terbaik kepada perkhidmatan, kerana apabila kita memberikan yang terbaik maka limpahan manfaatnya jelas kelihatan serta kami berharap agar jangan ada perosak yang timbul dalam kalangan anda yang boleh merosakkan organisasi yang unggul ini,” tegas PTD.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Datuk (Dr) Hj Abdul Razak Md Yusoff dan Ketua Eksekutif Malaysia Institute of Defence and Strategic (MIDAS) Lt Jen Datuk Azizan Md Delin.