KEDAH: Seramai 67 pegawai dan 36 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat Malaysia (TDM) daripada Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) serta 37 pegawai dan tujuh LLP dari pasukan Tentera Darat Filipina (TDF) terlibat dalam Perbarisan Penutup Eksesais Land Malphi Siri 17/2016 yang diadakan selama 14 hari bermula dari 4 hingga 17 Sep 2016.
Majlis penutup eksesais disempurnakan oleh Chief of Philippine Army, Lt Jen Eduardo Ano bersama Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan eksesais ini adalah anjuran sepenuhnya oleh MK 6 Bgd bersama 4 RRD yang diadakan di Sungai Petani, Kedah.
Objektif utama eksesais adalah bertujuan meningkatkan tahap inter-operability dan military readiness dalam merancang dan melaksanakan operasi bersama sebagaimana situasi peperangan konvensional mengikut persekitaran Malaysia disamping memberi peluang kedua-dua pihak bertukar ilmu pengetahuan dan pengalaman khususnya berkaitan organisasi, persenjataan dan kelengkapan selain mengeratkan hubungan persahabatan ketumbukan TD kedua-dua negara.
Turut hadir Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Tengku Ahmad Noor Tuan Chik dan Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brig Jen Dato’ Dzulkarnain Ahmad.
Gambar: Sjn Vijay Gaundar Arikrishnan dan Tengku Norsuraya Tengku Abd Rahman