KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob secara rasminya telah memulakan tugas sebagai MENHAN yang baharu di Wisma Pertahanan pada 12 Mac 2020.
Sebaik sahaja tiba di perkarangan Wisma Pertahanan, MENHAN disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz bersama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Beliau seterusnya menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) diketuai oleh Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi terdiri daripada tiga pegawai 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Serba ringkas keperibadiannya, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob lahir pada 18 Jan 1960 merupakan Ahli Parlimen Bera dan berkahwin dengan Datin Sri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 serta mempunyai empat orang cahayamata.
Memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bangau lalu meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan pada 1973 dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan pada 1976 serta belajar di tingkatan enam di Jaya Akademik seterusnya menyambung pelajaran di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada tahun 1980.
Beliau telah memulakan kerjayanya mulai pada tahun 1985 sebagai seorang peguam dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh pada 1987 serta Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada 1996.
Pada tahun 1995, beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan serta pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia pada tahun 1995.
Selain itu beliau pernah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 9 Apr 2009.
Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan awam seterusnya memasuki pintu masuk VIP Wisma Pertahanan dengan mengakseskan Kad Kerja Wisma Pertahanan sebagai tanda bermulanya hari pertama beliau di Wisma Pertahanan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz turut menerima tabik hormat dari KKU 1 RAMD yang mana beliau juga memulakan tugasnya pada hari yang sama dengan MENHAN.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abdul Aziz, Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan
[custom-facebook-feed album=3323844217644470]