KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Markas Tentera Darat (MKTD) hadir dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat diantara Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed No0r dengan Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim disaksikan Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 16 Dis 2016.
Majlis diteruskan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas PTD Ke-26 dan terdahulu dari itu diadakan Majlis Pemakaian Pangkat Jeneral kepada Lt Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Ruang Perkasa yang disempurnakan oleh MENHAN.
Dalam ucapan PTD baharu, beliau mengatakan semangat kesatuan yang disediakan oleh mantan-mantan PTD terdahulu akan beliau teruskan dengan sebaik mungkin kerana kini TD berada ditahap yang amat selesa atas bimbingan PTD Ke-25 yang berjaya membawa semua warga TD menjadi sebuah keluarga yang besar disamping pengamalan budaya hormat menghormati serta digabungkan dengan esprit de corps yang telah membantu dan memacu ciri-ciri kesatuan di dalam organisasi TD.
“Saya akan memberi penekanan khusus sepanjang kepimpinan saya iaitu pengekalan terhadap tahap profesionalisme yang mana keupayaan untuk melaksanakan penugasan ketenteraan secara berkesan dalam tugas teras dan sekunder adalah hasil daripada latihan yang efektif dan efisyen yang akan mampu melahir dan mengekalkan pengetahuan serta kemahiran modal insan atau man behind the machine yang boleh mengendalikan peralatan berteknologi tinggi sesuai dengan fungsi peralatan tersebut pada tahap yang optima,” tegasnya semasa menyampaikan ucaptama di Majlis Serah Terima Tugas PTD.
Selain itu beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri Malaysia, Menteri Pertahahan, Timbalan Menteri Pertahanan serta seluruh pucuk pimpinan ATM khasnya Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed No0r, bakal Panglima Angkatan Tentera ke-19 dan Kementerian Pertahanan kerana telah memberi penuh kepercayaan kepada beliau untuk menerajui TD.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali